Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat, garis panduan gay dan lesbian kepada ibu bapa yang disokong oleh Kementerian Pelajaran merupakan tindakan tidak wajar.

Beliau berkata, sekiranya benar adanya garis panduan tersebut, ia memberi tanggapan prejudis kepada sesetengah kumpulan.

"Saya nak tengok dulu sama ada benda ini betul atau tak. Saya nak kepastian. Kalau betul saya rasa panduan itu tidak wajar.

"(Ia) prejudis dan seolah-olah memberi stigma untuk kita nak kenal pasti kumpulan tertentu. Benda ini tak patut," katanya ketika ditemui Malaysiakini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tiga sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Kelmarin, menteri pelajaran dilaporkan menyokong "garis panduan" kepada ibu bapa untuk mengenalpasti simptom gay dan lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Panduan itu popular di Internet sehingga mencetuskan trend di Twitter, termasuk diperolokkan warga maya kerana mengelaskan ciri-ciri gay dengan memakai baju berkolar v (v-nect) serta berbaju ketat dan berwarna terang.

Sampaikan mesej dengan pendidikan

Sementara itu, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata, garis panduan itu juga dikhuatiri akan menjauhkan lagi 'kumpulan' tersebut dengan masyarakat.

"Kita tak boleh buat sesuatu kepastian berdasarkan pakaian. Saya rasa kita sebagai ibu bapa perlu rapat dengan anak-anak kita dan dapat tengok perubahan dalam peranan dan perwatakan mereka.

"Yang penting kita rapat dengan anak-anak bukan dengan cop berdasarkan pakaian. Itu diskriminasi.

"Mereka akan lebih menjauhi daripada masyarakat. Kita sepatutnya mendekati dan memahami apa masalah mereka," kata Khairy lagi.

Sehubungan itu, Khairy berkata lagi, garis panduan tersebut tidak perlu diwujudkan dan sekiranya ingin menyampaikan sebarang mesej, ia boleh melalui pendidikan.

"Tak perlu ada. Sebab macam mana kita nak terjemahkan berdasarkan bentuk fizikal. Ia satu benda tak sihat bila kita cuba pisahkan seseorang itu. Lebih baik tumpukan kepada pendidikan.

"Kalau nak sampaikan mesej, boleh dengan pendidikan moral dan sebagainya. Tak payah kita letak garis panduan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS