Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah: Guru perlu susulan untuk kenali LGBT

Isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa para pendidik mengambil tindakan susulan kepada garis panduan untuk mengenali golongan lesbian dan gay yang dilancarkan di Pulau Pinang minggu lalu.

Siti Hasmah berkata beliau percaya panduan yang diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd dan Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya itu dihasilkan oleh golongan yang arif dengan isu tersebut.

"Saya rasa panduan ini dibuat oleh mereka yang ada pengalaman, kena ada susulan kerana jika ada susulan, eloklah juga guru-guru ada panduan," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak begitu arif dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau mengulas perkara itu dengan ringkas pada sidang media selepas merasmikan satu program pencegahan awal penyalahgunaan dadah anjuran Persatuan Pengasih Malaysia dan Petronas hari ini.

 

Garis panduan yang dilancarkan pada 12 September itu, antara lainnya menggariskan bahawa golongan gay memakai baju berkolar-V dan membawa beg besar seperti perempuan.

Perasmiannya dilakukan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilihat sebagai sokongan kerajaan bagi mengiktiraf garis panduan tersebut.

Garis panduan berkenaan menerima pelbagai kritikan termasuk daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak wajar kerana memberi tanggapan prejudis kepada sesetengah pihak.

Kementerian pelajaran kemudiannya tampil dengan satu kenyataan bahawa kementerian itu tidak pernah memberi pengesahan kepada pihak yang menyedia atau mengeluarkan garis panduan tersebut.

ADS