Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA: Tak perlu garis panduan untuk kenal LGBT

Kumpulan pendesak Melayu Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berpendirian bahawa sistem pendidikan Malaysia tidak memerlukan garis panduan rasmi untuk mengenal pasti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Oleh kerana keputusan (gaya hidup) ini sudah menjadi kegiatan segelintir masyarakat, kita tak perlu rasmikan (garis panduan itu).

"Buat cara tak rasmi, yang penting tanggungjawab ibu-bapa itu sendiri," kata presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada sidang media tengah hari tadi.

Ibrahim turut mempersoalkan tindakan sebuah restoran yang dilaporkan memberi makanan percuma kepada pengunjung lelaki yang berpakaian seperti ciri-ciri dalam garis panduan tersebut.

"Tuan kedai (itu) mungkin LGBT. Kalau tidak apa tujuan dia (tawar makanan percuma).

"Walaupun untuk suka-suka, mungkin dia ada agenda.

"Kalau tidak apa tujuan dia hendak bagi nasi beriani percuma sedangkan ramai lagi orang lain memerlukan makanan?," soalnya.

Dalam sidang media itu, Ibrahim diminta mengulas mengenai garis panduan yang antara lainnya menggariskan bahawa golongan gay memakai baju berkolar-V dan membawa beg besar seperti perempuan.

Garis panduan itu dilancarkan dalam satu seminar di Pulau Pinang pada 12 September lalu, lapor akhbar Sin Chew Daily sebelum ini.

Seminar mengenai usaha menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender itu merupakan program anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd dan dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran Puad Zarkashi.

Perasmian berkenaan dilihat sebagai sokongan kerajaan bagi mengiktiraf garis panduan tersebut.

Garis panduan berkenaan menerima pelbagai kritikan termasuk daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai satu tindakan yang tidak wajar kerana memberi tanggapan prejudis kepada sesetengah pihak.

Kementerian pelajaran kemudiannya tampil dengan satu kenyataan bahawa kementerian itu tidak pernah memberi pengesahan kepada pihak yang menyedia atau mengeluarkan garis panduan tersebut.

ADS