Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ngeh dikecam ekoran kenyataan persoal demo
Diterbitkan:  Sep 19, 2012 12:09 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham dikecam ekoran satu kenyataannya yang mempersoalkan rancangan Pemuda Umno untuk bergabung bersama Pemuda PAS bagi menyuarakan bantahan ke atas pengarah filem anti-Islam Innocence of Muslims .

Akhbar Berita Harian melaporkan, tiga laporan polis turut dibuat di Perak bagi menggesa kerajaan menyiasat Ngeh atas dakwaan "menghina Islam".

NONE Laporan itu juga memetik kenyataan menteri besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang berkata tindakan Ngeh itu "sangat mendukacitakan dan provokatif".

"Sepatutnya dia berkongsi perasaan yang ditanggung umat Islam. Kita tidak boleh menggunakan sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi kerana ia menyentuh perasaan umat Islam," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Tulisan Ngeh yang dipertikaikan itu antara lain menyebut: "(Ketua Pemuda Umno) Khairy (Jamaluddin) mahu umat Islam mengadakan protes terhadap Sam Bacile (pengarah Innocence of Muslims ). Untuk Islam atau untuk kepentingan politiknya.

"Adakah orang Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk ini," kata MP Beruas itu lagi di laman sosial popular itu.

Susulan itu, Ngeh menghadapi reaksi keras oleh pengguna Twitter tertentu yang antara lainnya berpendapat, kenyataan itu bukan sahaja tindakan yang mempersoal tindakan Umno tetapi juga PAS, lapor Utusan Malaysia .

"Anda (Ngeh) perlu bertanya apa agenda individu di sebalik pembikinan filem tersebut. Dengan membuat kenyataan sebegini, anda sebenarnya turut menyerang PAS," kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama 4Peace yang dipetik Utusan .

Laporan Berita Harian menyebut, PAS merancang untuk menghimpunkan 50,000 pengikut bagi mengadakan bantahan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pemuda Umno pula merancang untuk bergabung dengan kumpulan pengikut PAS bagi bantahan sama.

ADS