Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKMM mahu k'jaan guna kad identiti pekerja asing

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mahu kerajaan menguatkuasakan penggunaan kad identiti bagi pekerja asing dalam sektor pembinaan bagi memudahkan pihak berkuasa membuat pemantauan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.

    

Timbalan Presidennya Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata kad identiti itu juga memudahkan pihak berkuasa mengesan pergerakan setiap pekerja asing  kerana maklumat mereka sentiasa dikemaskini.

    

Beliau berkata semua pekerja asing yang datang ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan perlu mendaftar dengan Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) kerana selain memudahkan pemantauan pergerakan mereka, ia juga sebagai langkah keselamatan sekiranya pekerja asing ini terlibat dengan jenayah.

    

"Sekiranya tidak berdaftar, sukar untuk pihak berkuasa mengesan dan mengambil tindakan terhadap mereka. Ini juga satu daripada kaedah kita untuk mengurangkan kadar jenayah melibatkan pekerja asing di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum bersama pelanggan CLAB di Butterworth hari ini.

    

Penal jemputan pada forum sehari anjuran CLAB itu termasuk Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

    

CLAB adalah agensi yang bernaung di bawah CIDB, bertanggungjawab untuk membekalkan pekerja asing dalam industri pembinaan dan sehingga 31 Ogos 2012 terdapat kira-kira 360,000 pekerja asing yang mendaftar dengan CLAB.

    

"Kita berharap penggunaan kad ini dapat dikuatkuasakan segera dan  harap semua syarikat kontraktor mendaftarkan pekerja asing mereka dengan CLAB," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS