Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyokong penaikan taraf Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) supaya menjadi sebuah kolej universiti.

Beliau berkata KTAR telah pun memenuhi kriteria utama untuk menjadi kolej universiti dan kerajaan tidak mempunyai bantahan asalkan kolej berkenaan mengikuti prosedur yang ditetapkan dengan mengemukakan permohonannya.

"Kerajaan juga bersetuju menegaskan semula bahawa sumbangan peruntukan diteruskan di masa akan datang.

"Ini bertujuan supaya institusi ini dapat menyediakan pendidikan berkualiti pada harga yang semua mampu," katanya ketika berucap pada Malam Penghargaan Persatuan Alumni Tarcian di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata KTAR telah pun membolehkan 160,000 anak muda Malaysia mengikuti pengajian berkualiti pada harga yang semua mampu sejak penubuhannya pada 1969.

Beliau berkata perpaduan dalam kalangan semua bangsa menjadi testimoni kepada pembinaan sebuah negara yang dibuktikan oleh pemimpin terdahulu.

"Inilah satu-satunya resipi dan formula yang dapat menentukan kejayaan negara kita," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA yang juga Pengerusi Majlis Kolej TAR Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata KTAR mengadakan perbincangan terperinci dengan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung penaikan taraf status itu.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM766 juta kepada KTAR sejak kolej itu memulakan operasinya bagi memastikan institusi berkenaan menyediakan pendidikan berkualiti.

KTAR mempunyai sejumlah enam kampus di seluruh negara dengan menawarkan lebih 130 program, merangkumi bidang ICT, sains, perakaunan, pengurusan perniagaan, kejuruteraan, komunikasi masa dan program pra-universiti.

- Bernama