Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tengkorak & badan terkerat ditemui di Pekan
Diterbitkan:  Sep 22, 2012 9:56 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Satu tengkorak dan beberapa anggota badan manusia yang dikerat-kerat ditemui dekat sebuah tali air di kawasan hutan di Sungai Miang, Pekan semalam dipercayai berkaitan dengan kes kehilangan seorang warga emas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman ketika dihubungi Bernama berkata polis menemui tengkorak dan beberapa anggota badan manusia itu pada jam 5 petang selepas berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kehilangan warga emas itu.

"Setakat ini kita tidak menolak kemungkinan tengkorak itu mempunyai kaitan dengan warga emas yang dilaporkan hilang baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap dua suspek terbabit pada hari ini, pasukan polis ke lokasi berkenaan dan menjumpai tengkorak dan beberapa anggota badan manusia.

"Kes penemuan tengkorak dan beberapa anggota badan yang dikerat-kerat itu masih terlalu awal dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang pada Sabtu lepas selepas menaiki kereta bersama dua lelaki untuk urus niaga berhubung penyewaan sebuah premis perniagaan.

Isteri mangsa, Siti Salamah Sheikh Abd Rahman, 63, berkata suaminya Sh Othman Sh Bakar, 72, tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi selepas keluar bersama dua lelaki berkenaan.

Beliau berkata suaminya bukanlah pemilik premis menjual alat binaan sebaliknya hanya pekerja di premis berkenaan.

- Bernama

ADS