Kerajaan negeri Kelantan, Kedah dan Selangor sedang meneliti aspek perundangan untuk membatalkan pajakan tanah negeri yang dibuat Felda Plantation kepada Felda Global Venture (FGV), kata Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

Presiden NGO antipenyenaraian itu Mazlan Aliman berkata, Di Kelantan, exco kanan Datuk Husam Musa sudah menyerahkannya cadangan itu kepada penasihat undang-undang negeri untuk diteliti.

mazlan aliman anak"Saya percaya perkara sama juga sedang diamati kerajaan Kedah dan Selangor," kata Mazlan yang juga anggota jawatankuasa Pusat PAS.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara pagi tadi, Mazlan berkata, tindakan itu dilakukan kerana sebahagian tanah pajakan kerana ia milik negeri dan bukan atas nama peneroka.

Namun katanya, Felda Plantations bertindak memajak tanah itu kepada Felda Global Venture dan akan diperbaharui setiap tiga tahun sekali.

"Tanah itu di bawah kerajaan negeri. Kalau selepas ini kerajaan negeri mahu bagi hak milik kepada peneroka bagaimana?" katanya.

Beliau turut meminta perdana menteri mengkaji pengesahan jawatan pengarah besar Felda baru yang dikatakan akan mengambil alih kekosongan itu pada pada 1 Oktober depan.

Mazlan mendakwa mempunyai dokumen bagi membuktikan terdapat dakwaan salah laku berkaitan yang akan didedahkan serentak dengan pengisian jawatan itu dibuat.

"Sebab itu kita minta PM kaji semula tindakan lembaga pengarah Felda. Tambahan pula Felda dah memeterai pelan integriti dengan SPRM," katanya.