Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Md Isa Sabu berkata beliau tidak bermusuh dengan Datuk Seri Shahidan Kassim dan akan bekerjasama dengan bekas menteri besar itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

"Datuk Seri Shahidan Kassim bukan musuh saya, tetapi satu pesaing yang sihat. Dia bukan musuh. Musuh saya adalah PAS, DAP dan PKR.

"Bila tiba pilihan raya, kami akan bersatu. Bila biduk berlalu kiambang bertaut," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mengulas satu kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng bahawa Pakatan Rakyat berpeluang untuk merampas pentadbiran negeri itu sekiranya Shahidan tidak lagi bertanding di kerusi DUN.

Lim Guan Eng juga mendakwa berlaku pepecahan dalam Umno di negeri itu apabila terdapat pemimpin tertentu yang didakwa tidak disenaraikan sebagai calon MB Perlis.

Mengulas perkara itu, Md Isa berkata dakwaan itu hanyalah "anggapan" Lim yang menurutnya "tidak tahu apa-apa" mengenai hal ehwal Umno negeri.

"(Umno Perlis) tidak berpecah. Kalau berpecah kita sudah jatuh berkali-kali. Kita bukan setahun dua (memerintah) di negeri Perlis.

"(Oleh itu, biarlah) dia jaga rumah tangga dia, saya jaga rumah tangga saya. Saya tahu (apa yang berlaku) sebab saya jaga negeri Perlis. Dia tak tahu apa-apa tentang Umno (Perlis)," katanya lagi.

Lim menimbulkan perkara itu dalam ucapannya di Kongres DAP Perlis di Beseri, semalam.

Md Isa turut menyangkal dakwaan bahawa DAP semakin bertapak di negeri itu, khususnya di DUN Titi Tinggi dan Indera Kayangan yang majoriti pengundinya terdiri daripada golongan Cina.

"Saya lihat rakyat masih bersama dengan BN. Masyarakat Cina di (DUN) Titi Tinggi masih kukuh sokongan kepada MCA. Melayu dengan Umno.

"Saya rasa Pakatan ada peluang untuk bertanding, tapi peluang untuk menang ada pada BN," katanya yang menambah rakyat negeri itu "tidak tertipu" dengan janji DAP.

ADS