Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Pertahanan tidak memerlukan siasatan oleh pihak luar berhubung isu pembelian Rapid Intervention Vehicle (RIV), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata siasatan terperinci secara dalaman yang dijalankan sejurus selepas isu itu dibangkitkan Sultan Johor Sultan Ibrahim telah memadai bagi mencari punca kepada isu berkenaan.

    

NONE "Maklumat awal hasil siasatan yang dijalankan telah pun saya peroleh dan setakat ini saya dapati kementerian tidak perlu kepada siasatan oleh pihak luar dalam mencari penyelesaian kepada isu ini," katanya mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Sultan Ibrahim mengenai perbezaan harga RIV yang lebih mahal daripada harga yang dianugerahkan oleh baginda.

    

"Saya sebagai menteri pertahanan mengambil tanggungjawab penuh atas keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas yang membangkitkan isu ini dan saya akan pastikan siasatan dijalankan sehingga ke akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tentera Laut Pasifik Barat (WPNS) ke-13 di ibunegara hari ini.

    

Beliau berkata siasatan itu bukan sahaja mengambil kira aspek harga tetapi semua dokumen pembelian seperti spesifikasi dan pakej pembelian yang melibatkan latihan.

    

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya tidak akan bertolak ansur, sama ada dengan syarikat pembekal atau mana-mana pegawai yang masih bertugas atau telah meninggalkan kementerian, sekiranya mereka didapati terlibat dalam sebarang penyelewengan dalam tawaran pembekalan RIV itu.

Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor 8 Sept lepas dilaporkan bertitah harga RIV yang dianugerahkan oleh baginda ialah RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal.

    

Ditanya mengenai peruntukan terhadap kementerian pertahanan yang semakin mengecil berbanding pemilikan aset yang sedang dilakukan negara jiran, Ahmad Zahid berkata ia tidak perlu dibimbangkan kerana pembelian itu lebih kepada penggantian aset lama.

    

Ahmad Zahid berkata perbincangan beliau bersama rakan-rakan sejawatnya dari negara lain juga menunjukkan mereka tidak berniat untuk melakukan provokasi sebaliknya pembelian itu lebih kepada menggantikan aset lama serta mengikut keadaan semasa perubahan teknologi.

    

"Rasanya kita tidak perlu bersaing untuk tingkatkan perbelanjaan pertahanan, namun kami tetap merasa bangga kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri kewangan tetap memberikan peruntukan untuk pertingkatkan aset ketenteraan," katanya.

    

Berhubung simposium itu, Ahmad Zahid berkata kehadiran delegasi kira-kira 100 orang dari 21 negara anggota WPNS menujukkan pengiktirafan mereka terhadap peranan Malaysia dalam soal keselamatan di rantau ini.

    

"Kehadiran Panglima Tentera Laut yang ramai memberikan satu signifikasi bahawa peranan kita dalam soal keselamatan di rantau Asia Pasifik diberi pengiktirafan tertinggi oleh perwakilan," katanya.

    

Selain merundingkan pelbagai aspek berhubung keselamatan maritim, kerjasama serantau mengenai pendakwaan dan usaha melawan perlanunan, simposium dua hari itu turut membincangkan keahlian Peru sebagai negara ke-21 anggota WPNS.

    

Simposium turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

- Bernama

DPPM: Teguran Sultan Johor perlu diberi perhatian penting

Zahid Hamidi: Isu harga RIV untuk elit tentera disiasat

Sultan Johor murka tentera dibekal alat tak bermutu

ADS