[a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup,
[b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan
[c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.
Belanjawan ini menjadi satu lagi bukti kemampuan Pakatan dalam merangka strategi alternatif ekonomi nasional yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang membawa pembaharuan sebenar untuk Malaysia.
Kelak Umno-BN dan pengampu mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan cuma pandai dengan retorik dan membuat omongan kosong.
Belanjawan ini yang buat kesekian kalinya ini menjelaskan tawaran kita secara objektif, profesional dan bijaksana tanpa bersikap apologetik terhadap cabaran ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan oleh pemerintah.
Belanjawan ini tidak membuaikan rakyat dengan gula-gula politik dan strategi perbelanjaan melampau seperti bajet kerajaan 2012 yang disifatkan oleh Tun Mahathir Mohamad sebagai suatu rasuah politik.
Kerendahan hati lwn gaya mewah
Sebaliknya belanjawan setebal 98 muka surat ini menyusun program perbelanjaan konstruktif untuk membina jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin dan kelas ekonomi menengah secara mapan.
Ia menekankan aspek perumahan, belanja isi rumah, pemilikan kenderaan dan pendidikan tinggi percuma tanpa bebanan dari pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kita juga komited untuk merungkai monopoli Umno-BN yang terus menerus menjerut dan menghambat potensi sebenar sistem ekonomi kita.
Belanjawan ini penting sebagai bukti kepada rakyat bahawa amalan korupsi, kolusi dan nepotisme Umno-BN ini boleh ditamatkan dengan langkah-langkah jitu dan realistik bersandarkan kemahuan politik kuat pemerintah.
Ia cuma akan hadir jika Pakatan mentadbir Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, insya-Allah.
Agenda besar belanjawan Pakatan ini juga boleh dicapai berdasarkan kepada kebijakan yang terjana hasil dari pengalaman mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang pastinya berguna untuk diaplikasikan di peringkat nasional.
Rakyat telah menyaksikan prestasi kepimpinan Pakatan yang berjaya mengekalkan integriti bebas rasuah di samping kompeten, telus dan berhemat dalam urusan pentadbiran walau terus dimomok dengan pemberitaan berat sebelah dan layanan tidak adil dari kerajaan pusat.
Malah kerendahan hati dan kesederhanaan pemimpin menyantuni rakyat menjadi pembeza kepada gaya mewah pimpinan Umno-BN dan keluarga mereka.
Kitaran keberkatan
Atas dasar ini jugalah, kita yakin dengan aspirasi untuk meningkatkan hasil mahsul negara sehingga 18 peratus sebagai sesuatu yang realistik bersandarkan kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan Pakatan untuk mendepani isu ketirisan, rasuah dan kecekapan.
Dewan Pemuda PAS melihat belanjawan Pakatan sebagai suatu terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang dicadangkan oleh PAS bagi memastikan kekayaan negara tidak berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata - sedang ia satu kezaliman.
Belanjawan ini menjadi satu manifestasi strategi untuk merakyatkan kekayaan negara secara adil dan saksama agar rezeki yang ada dirasakan cukup untuk semua orang dan semua urusan sekali gus membebaskan rakyat dari cengkaman mafia ekonomi.
Bermula dari nurani tersebut, timbul kesungguhan untuk terus berusaha mencambah kekayaan negara dan lahir pula keikhlasan dari rakyat untuk memanjat doa dan pengharapan kepada tuhan agar kebajikan dan kesejahteraan ini berpanjangan.
Inilah kitaran keberkatan yang cuba dicapai, bermula dengan pembentangan strategi belanjawan ini.
Aspek rububiyah inilah yang tidak mungkin dapat difahami oleh pemerintah yang terus menerus merasakan penguasaan terhadap kekayaan negara adalah hak istimewa mereka secara tradisi.
NASRUDIN HASSAN ketua Dewan Pemuda PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.