Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia, Thai materai kerjasama banteras rasuah
Diterbitkan:  Oct 6, 2012 12:10 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan Thailand (NACC) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama berkesan dalam memerangi rasuah.

Ia ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Pesuruhjaya NACC, Prof Pakdee Pothisiri, di luar Konvensyen Persatuan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) ke-6 di Kuala Lumpur.

NONE Memberitahu pemberita kemudiannya, Abu Kassim ( kanan ) berkata kerjasama itu termasuk bantuan teknikal, latihan dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata SPRM mengenal pasti empat bidang yang Malaysia dan Thailand boleh bekerjasama, antaranya penyeludupan manusia yang menjadi keprihatinan bersama.

Pakdee pula berkata kedua-dua negara sentiasa berkongsi secara tidak formal dalam memerangi rasuah dan Mou berkenaan bertujuan mengukuh hubungan sedia terjalin antara kedua-dua negara.

"SPRM sentiasa profesional dan membantu dengan berkongsi maklumat dan teknologi bersama kami, tetapi oleh kerana konvensyen IAACA tahun ini memfokus kepada bantuan teknikal dan pertukaran maklumat, MoU ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu bagi menjadikan perkongsian kami secara formal," katanya.

Beliau berkata perjanjian persefahaman tersebut dijangka meningkat kerjasama antara SPRM dan NACC, yang boleh membantu dan mencegah kes rasuah antara kedua-dua negara yang bersempadan.

"Kami antara lain akan memfokus kepada pertukaran maklumat dan bahan profesional, pertukaran pengalaman dalam mengesan dan menyediakan bantuan teknikal dalam aktiviti pengoperasian," tambah beliau.

- Bernama

ADS