PM Najib bertemu Soros di New York

dikemaskini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengadakan pertemuan peribadi dengan jutawan George Soros - individu yang dilihat oleh penyokong setia Umno sebagai musuh nombor satu - di New York dua tahun lalu.

Pertemuan tersebut -  yang mula-mula didedahkan minggu lepas oleh ahli parlimen Subang, R Sivarasa semasa berdebat dengan Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kassim -  berlangsung di sebuah hotel mewah - Hotel Plaza di Manhattan.

najib abdul razak in perth chogm 1Malaysiakini telah mengesahkan pertemuan Najib-Soros dengan satu
sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenainya.

Pertemuan perdana menteri dengan Soros, yang dituduh membiayai NGO Malaysia untuk perubahan rejim, berlaku pada 27 September 2010.

Dipercayai sekurang-kurangnya seorang pemimpin tinggi Umno hadir di pertemuan tersebut.

Najib, yang menjadi perdana menteri pada tahun 2009, menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada hari yang sama beliau bertemu dengan Soros.

Dalam ucapan di PBB itu, Najib mencetuskan 'gerakan global moderat' untuk menebus semula agenda keamanan dan pragmatisme.

Di luar perhimpunan agung itu, Najib juga bertemu dengan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan mengadakan perbincangan dengan beberapa ketua kerajaan.

Antara mereka yang mengiringi Najib dalam lawatan itu ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Jamaluddin Jarjis.

Soros, seorang peniaga mata wang kontroversi dan seorang dermawan, telah dipersalahkan sebagai punca konflik kewangan yang melanda Malaysia semasa krisis ekonomi tahun 1997-98, dan baru-baru ini, didakwa pula mahu menjatuhkan BN dengan membiayai NGO antikerajaan.

NONESejak beberapa minggu lalu, sekumpulan penulis blog prokerajaan dan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, mengecam NGO, termasuk badan hak asasi manusia, Suaram dan gerakan reformasi pilihan raya, BERSIH, kerana menerima pembiayaan daripada Open Society Foundation Soros.

Malaysiakini juga, turut menjadi sasaran ekoran hubungannya dengan MDLF, sebuah dana pelaburan yang memiliki 29 peratus kepentingan dalam portal berita bebas itu. MDLF mengumpulkan modal dari bank, kerajaan dan agensi-agensi pembiayaan, yang termasuk yayasan Soros.

Pada hari Ahad, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut sama menuduh Malaysiakini bersekongkol dengan Soros untuk perubahan rejim bagi "meletakkan calonnya sebagai perdana menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan Malaysia".

"Pandangan saya tentang Soros ialah dia masih seorang penyangak mata wang dan dia sebatikan kejahatan ini dengan menggunakan wang untuk meletakkan orang sepertinya untuk memerintah negara-negara yang disasarnya. Dan Malaysia jelas salah satu sasarannya," tulis Dr Mahathir dalam New Straits Times.

Dengan menyambungkan dua titik berbeza, beliau membuat kesimpulan liar bahawa "satu undi untuk pembangkang adalah undi untuk Soros."

Ironinya, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, Bank Negara Malaysia menceburkan diri dalam spekulasi mata wang yang berisiko tinggi - dan ia kerugian sejumlah RM5.7 bilion kepada orang-orang seperti Soros pada awal tahun 1990-an.

NONEBulan lepas, Malaysiakini mendedahkan bahawa Dr Mahathir, meskipun bermusuh dengan Soros, telah menulis kepada jutawan itu memintanya menyokong projek Forum Keamanan Global untuk mengharamkan peperangan sebagai satu cara bagi menyelesaikan konflik manusia.

Menurut majalah mingguan antarabangsa Economist, menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dilihat teramat penting, Umno dan media yang menyokong Umno menyerang mana-mana organisasi yang dianggap bersimpati kepada pembangkang.

"Semua cerita lama yang tidak berasas mengenai pelbagai kumpulan yang dikatakan dibayar oleh Zionis, Amerika atau George Soros, seorang pembiaya asing, telah dikeluarkan semula," katanya dalam satu artikel yang disiarkan awal minggu ini.

"Ia tidak jelas sama ada fitnah sumpama itu masih mendapat tempat di hati pengundi di Malaysia,  terutamanya di kalangan umat Islam. Semua ini pastinya merupakan tanda-tanda terdesak."

[Baca berita penuh]

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.