Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN) merasa terpanggil melahirkan rasa terkilan dan kecewa untuk menyatakan serta membangkitkan isu keciciran masyarakat India dalam arus pembangunan negara.

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat India turut sama menyumbang tenaga ke arah membangunkan negara Malaysia sejak sebelum merdeka.

Salah satu aspek penting dalam pembangunan negara adalah isu representasi masyarakat India dari segi politik. Jikalau kita melihat representasi dari segi politik, kita dapat melihat bahawa masyarakat

India jauh ketinggalan sejak kemerdekaan bawah pemerintahan kerajaan BN.

Sejak sekian lama, jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi pemimpin masyarakat India tidak pernah melebihi 10 kerusi di seluruh negara, manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak pernah melebihi 20 kerusi.

Ini amat menyediakan tatkala masyarakat India dikatakan sebagai rakan kongsi masyarakat Malaysia.

Dalam pilihan raya ke-12 pada 2008, hasil kebangkitan masyarakat India yang memendam rasa sejak sekian lama menerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf), maka jumlah kerusi yang ditandingi oleh pemimpin masyarakat India bertambah.

Berlaku tambahan kerusi yang ditandingi oleh pemimpin masyarakat India PKR dan DAP.

PKR dengan 5 kerusi Parlimen serta 15 kerusi DUN. DAP dengan 8 kerusi Parlimen serta 15 kerusi DUN. Jumlah besar sebanyak 13 kerusi Parlimen dan 29 kerusi DUN bawah Pakatan Rakyat.

Parti MIC pula kekal dengan 9 kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN dan tambahan

satu kerusi Parlimen oleh pemimpin masyarakat India dari Parti Progresif Penduduk (PPP).

Ini menunjukkan bahawa pemimpin masyarakat India BN bertanding di 10 kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN, manakala pemimpin masyarakat India Pakatan dengan 13 kerusi parlimen dan 29 kerusi DUN.

Sudah tentu ini menunjukkan bahawa pemimpin masyarakat India diberi pengiktirafan yang lebih oleh Pakatan berbanding BN.

Bagaimanapun, jika dilihat dari jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN, angka representasi pemimpin masyarakat India di kedua-dua belah pihak seperti di atas amatlah menyedihkan.

Ini kerana pemimpin masyarakat India di BN hanya mendapat sebanyak 4.5 peratus kerusi Parlimen dan 3.2 peratus kerusi DUN.

Peratusan di Pakatan pula hanyalah 5.8 peratus kerusi Parlimen dan 5 peratus kerusi DUN. Nampaknya masyarakat India dipinggirkan oleh kedua-dua belah pihak.

Sepatutnya representasi politik masyarakat India haruslah tidak kurang 10 peratus sama ada pembahagian kerusi Parlimen mahupun DUN.

Ini harus diberi perhatian oleh Pakatan yang selalu melaungkan bahawa ia bukan parti perkauman. Jikalau benar bukan parti perkauman, maka mengapa masyarakat India dipinggirkan dari segi politik?

Dengan pembahagian sebanyak 10 peratus, ini akan membolehkan 22 kerusi Parlimen dan 57 kerusi DUN ditandingi oleh pemimpin masyarakat India.

Kami mendapat tahu bahawa parti DAP sedia memperuntukkan sebanyak 10 kerusi Parlimen kepada pemimpin masyarakat India dalam pilihan raya umum ke-13. Jikalau benar, ini adalah sesuatu yang harus dipuji.

Maka, PKR juga haruslah bersedia memperuntukkan sebanyak 12 kerusi Parlimen, iaitu tambahan sebanyak 8 kerusi Parlimen. Begitu juga dengan kerusi DUN yang harus ditambah.

Jikalau populasi masyarakat India yang menjadi persoalan, kita sedia maklum bahawa terdapat lebih 20 kawasan Parlimen dan lebih 70 kawasan DUN yang mempunyai jumlah masyarakat India melebihi 15 peratus seperti Parlimen Bagan Datoh dengan 22 peratus, Tapah (20 peratus) dan Tanjung Malim

(18 peratus).

Manakala kawasan DUN pula seperti Jalong (26 peratus), Chenderiang (25 peratus) dan Changkat Jong (26 peratus).

Kita harus menginsafi bahawa masyarakat India dengan peratusan melebihi 15 peratus di mana-mana kawasan akan menjadi pemutus ( kingmaker ) untuk menentukan parti mana yang bakal memenangi kawasan tersebut.

Jangan dirisaukan soal calon kerana terdapat ramai calon yang berkelayakan, berpendidikan serta mempunyai sikap ingin berkhidmat.

WargaAMAN bersedia untuk mencadangkan nama-nama calon India jika diperlukan oleh Pakatan. Permintaan WargaAMAN ialah beri 10 peratus kerusi kepada masyarakat India.


angkatan wargaaman malaysia secretary general s barathidasan S BARATHIDASAN setiausaha agung Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS