Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ezam pertahan pertemuan Mahathir, Najib dengan Soros
Diterbitkan:  Oct 14, 2012 7:47 PM
Dikemaskini: 11:57 AM

Bekas pengikut ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini tampil dengan teori bahawa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jutawan George Soros adalah berbeza jika dibandingkan dengan pertemuan bersama individu lain.

Laporan laman Sinar Harian hari ini menyebut, senator BN itu malah membandingkannya dengan peristiwa pertemuan Rasulullah dengan pemimpin Yahudi dan Quraisy.

"Rasulullah SAW juga pernah berjumpa dengan beberapa orang ketua Yahudi dan Quraish yang menjadi lawannya," laporan itu dipetik.

Kenyataannya itu timbul susulan pengakuan Najib bahawa pertemuan di Manhattan dengan Soros, dua tahun lalu adalah kunjungan hormat dan tiada perbincangan mengenai menjatuhkan kerajaan atau untuk mendapatkan kewangan.

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan kandungan perbincangan di antaranya dengan Soros.

Najib juga berkata, tiada salahnya pertemuan seperti itu dilakukan kerana Mahathir juga bertemu dengan individu tersebut, pada 2006 di Kuala Lumpur.

“Berjumpa antara seorang pesaing atau lawan dengan berjumpa antara tuan dengan hamba tentulah berbeza,” kata Ezam seperti dipetik laman tersebut.

"Kebiasaanya, seorang jeneral perang zaman dulu dan kini berjumpa lawan mereka... begitulah Tun Mahathir dan Najib berjumpa Soros sebagai pesaing yang masing-masing memegang kepentingan berbeza," katanya.

Ezam berkata Najib dan juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pesaing Soros "dalam kelas mereka tersendiri".

Dalam laporan Sinar Harian itu, Ezam turut menyelar golongan yang meragui agenda pertemuan Najib dan Mahathir dengan Soros.

Pengaruh Soros dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan boleh dilihat seperti yang berlaku di beberapa negara, dakwanya yang turut menyebut nama negara Georgia, Hungary, Mesir.

"Dalam konteks ini, Soros jelas daripada apa yang berlaku di Georgia, Hungary, Mesir dan banyak lagi negara-negara lain adalah seorang tuan yang mempunyai agenda dan niat jahat untuk meruntuhkan asas, nilai budaya, agama di sesebuah negara dengan diganti nilai liberal tanpa batas dengan topeng hak asasi manusia dan demokrasi," katanya lagi.

Laporan itu juga menyebut, Ezam pada 20 April 2010 mendakwa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali pernah bertemu Soros pada 2003 di Amerika Syarikat.

Menurut laporan itu lagi, Ezam mendakwa, pertemuan itu diatur exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong, pada masa itu.

ADS