Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nakhaie pula sokong Haron Din ganti Nik Aziz
Diterbitkan:  Oct 15, 2012 2:06 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Seorang lagi bekas pemimpin PAS Datuk Nakhaie Ahmad tampil menyatakan sokongan kepada saranan bekas rakan sejawatannya dalam parti itu, Datuk Hasan Ali, yang menggesa supaya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan mursyidul am parti.

Kenyataannya itu disuarakan ketika Hasan, yang menyarankan supaya jawatan itu digantikan oleh timbalan mursyidul am Datuk Haron Din, menerima kritikan keras daripada pemimpin PAS atas saranannya itu.

Laporan akhbar pro-BN, Berita Harian hari ini menyatakan Nakhaie membuat saranan itu kerana percaya kenyataan Nik Aziz sejak kebelakangan ini bertentangan dengan prinsip PAS untuk memperjuangkan negara Islam.

Nakhaie Ahmad, ex pas vice president now umno member Nakhaie ( kiri ) juga menyifatkan Nik Aziz sebagai "liabiliti" kepada PAS dan "ada ketikanya terlalu memuji DAP sehingga mengakibatkan PAS dilihat berpuak-puak".

"Ada ketikanya pimpinan PAS lain terpaksa mempertahankan semua kenyataannya walaupun kadangkala ai memberi impak negatif terhadap parti," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Beliau mendakwa, tindakan Nik Aziz yang menyokong DAP walau parti itu mempertikai pelaksanaan hudud "menimbulkan kemarahan ahli, pengikut dan pemimpin" PAS.

Nakhaie yang menyertai Umno pada 1989 juga mendakwa, pemimpin berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan perkara itu kerana hormat pada Nik Aziz.

Nakhaie merupakan antara individu yang terlibat dalam penganjuran seminar pada Selasa lalu yang menampilkan bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Laporan Berita Harian itu juga menyebut bahawa PAS akan membentuk jawatankuasa khas untuk menjelaskan isu parti tersebut kepada Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad yang menyuarakan kritikan ke atas asas perjuangan parti itu.

Laporan yang memetik kenyataan anggota jawatankuasa PAS pusat Khalid Samad itu menyebut, jawatankuasa itu akan memberi penjelasan kerana Shahnon mungkin terpengaruh dengan berita dan khabar angin.

ADS