Hutang dijamin k'jaan melepasi paras RM100b

LAPORAN AUDIT Pinjaman terkumpul yang dijamin kerajaan persekutuan meningkat sebanyak RM19.85 bilion atau 20.5 peratus pada tahun 2011 dan buat pertama kalinya telah melepasi paras RM100 bilion untuk mencecah RM116.76 bilion, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Angka ini telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun dan mengalami peningkatan pesat sejak tahun 2008. Peningkatan dari tahun 2008 kepada 2011 adalah 69 peratus atau RM47.52 bilion.

Pinjaman dijamin kerajaan adalah pinjaman yang diambil oleh badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat tetapi dijamin oleh kerajaan persekutuan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

NONE

Pinjaman ini adalah berasingan daripada hutang kerajaan persekutuan dan tidak dicerminkan dalam bajet tahunan, dan sering digambarkan sebagai sebahagian daripada "hutang tersembunyi" negara.

Menurut laporan audit, hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2011 mencecah RM456.12 bilion, atau 51.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beberapa peratus di bawah siling hutang digubal 55 peratus.

Jika RM116.76 bilion pinjaman kerajaan terjamin dimasukkan ke dalam hutang persekutuan, maka jumlah hutang akan menjadi RM573 bilion atau 65 peratus daripada KDNK, yang jauh melebihi siling hutang.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah berhujah bahawa kerajaan tidak mengambil kira liabiliti luarjangka seperti pinjaman off-budget, dalam nisbah hutang-kepada-KDNK.

Pinjaman PTPTN
NONE

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa RM116.76 bilion yang terkumpul pada tahun 2011 merupakan jumlah pinjaman dalam dan luar negeri dua badan berkanun dan 23 syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin Putrajaya pada akhir tahun 2011.

Kenaikan sebanyak RM19.85 bilion dari tahun 2010 adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pinjaman untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), gergasi perladangan Felda dan Jambatan kedua Sdn Bhd

Kerajaan juga menjamin pinjaman baru yang diambil oleh Syarikat Govco Holdings Bhd, Pengurusan Air SPV Bhd dan SRC International Sdn Bhd pada tahun 2011.

PTPTN, yang telah menambah pinjaman dengan ketara sejak tahun 2007, mengambil 17 peratus atau RM20.35 bilion daripada jumlah pinjaman yang dijamin kerajaan, diikuti oleh Pengurusan Air SPV Bhd (RM9.5 bilion atau 8 peratus) dan Felda (RM3.42 bilion atau 3 peratus).

Pinjaman tertunggak PTPTN meningkat lebih dua kali ganda -  daripada RM7.5 bilion pada tahun 2007 kepada RM20.35 bilion pada tahun 2011 -  peningkatan tertinggi di kalangan semua peminjam yang dijamin kerajaan persekutuan.

NONE

[Baca berita penuh]




 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.