Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS, NGO dakwa pemimpin Gerakan hina Islam
Diterbitkan:  Oct 17, 2012 2:36 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan kumpulan NGO menuntut tindakan tegas diambil terhadap Ketua Pemuda GERAKAN Kedah Tan Keng Liang yang didakwa menghina Islam berhubung garis panduan pemasangan papan iklan di Kedah.

Mereka mendakwa kenyataan Tan yang dibuat di Twitter itu serius, mempersenda dan menghina berhubung isu aurat dalam ajaran Islam.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad berkata, kenyataan Tan pada Isnin lalu itu bersifat jahat dan sejenis provokasi.

NONE "Beliau cuba membangkitkan sentimen kebencian rakyat khususnya golongan bukan Islam terhadap PAS dengan mengada-adakan cerita yang tidak masuk akal.

"Beliau juga memfitnah PAS dengan membangkitkan kononnya PAS akan bertindak keras dan tegas terhadap golongan bukan Islam sekiranya PAS memenangi Putrajaya kelak," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamaruzaman berkata, laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi. NGO yang rapat dengan Pakatan Rakyat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan JINGGA 13 juga sebelum ini menganjurkan supaya laporan polis dibuat di seluruh negara sebelum ini.

Tan dalam tulisannya di Twitter pada Isnin lalu berkata, arahan kerajaan PAS Kedah yang menasihatkan agar model lelaki memakai pakaian sopan di papan besar iklan dan tidak memakai seluar pendek kerana takut lelaki "jambu" dalam PAS terangsang.

"Mulai sekarang, Lee Chong Wei mesti memakai seluar panjang untuk bermain badminton jika mahu gambarnya diambil untuk papan iklan di Kedah. Pastikan baju mempunyai lengan.

"Bayangkan apa akan terjadi jika PAS menguasai Putrajaya. Semua atlit Malaysia termasuk bukan Islam mesti memakai seluar panjang dan baju berlengan," kata Tan.

Sehubungan itu, Kamaruzaman berkata, PAS tidak memaksa bukan Islam untuk mengikut segala perintah yang hanya dikhaskan kepada orang Islam.

Jelasnya, golongan bukan Islam diberikan kebebasan memilih dan mengamalkan agama serta budaya mereka tanpa sekatan.

"Usaha yang dilakukan oleh kerajaan PAS Kedah adalah sebagai membendung gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang kian membarah," katanya.

NGO: Tahan segera Tan

Sementara itu, JINGGA 13 pula dalam kenyataannya hari ini menyifatkan kenyataan Tan itu sebagai "biadap" dan menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

"Amat mendukacitakan apabila ditegur oleh ramai orang, beliau masih mempertahankan kenyataan beliau yang bukan sahaja bersifat rasis malah cuba mengelirukan dengan melabelkan itu adalah undang-undang ciptaan PAS, bukannya ketetapan dan undang-undang Islam sepertimana yang termaktub dalam al-Quran," kata Ketua Penerangan JINGGA 13 Mohd Rudey Abd Rahman.

Manakala Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan pula menggesa polis bertindak tegas dan menahan segera Tan.

"Sebagaimana suatu ketika tidak lama dulu seluruh rakyat negara tanpa mengira fahaman agama dan warna kulit mengutuk penerbitan filem yang menghina agama Islam, SAMM juga hari ini menuntut perkara yang sama disokong merentasi perbezaan agama dan bangsa," katanya.

ADS