ULASAN Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan didapati gagal menyemak harga-harga jualan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor apabila meluluskan lesen-lesen pemaju perumahan.
Kerajaan negeri Selangor mensyaratkan bagi setiap pembangunan yang melebihi 10 ekar sebahagian darinya perlu dibina rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana.
Rumah kos rendah hanya boleh dijual dengan harga maksimum RM42,000, rumah kos sederhana rendah RM72,000 dan rumah kos sederhana RM100,000.
Bagaimanapun terdapat kes-kes di mana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksimum untuk rumah kos sederhana.
Sebagai contoh, terdapat rumah kos sederhana di Bukit Subang, Shah Alam yang telah diberi kelulusan untuk dijual dengan harga sehingga RM220,000 sebuah. RM120,000 lebih tinggi dari harga yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
Oleh yang demikian, kementerian perumahan perlu menyemak harga jualan maksimum yang diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum meluluskan lesen pemaju.
Sekiranya pemaju gagal membina menurut kelulusan kerajaan negeri, pembeli-pembeli akan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat hak milik.
Kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa mereka akan memberi penekanan kepada pembinaan rumah mampu milik tetapi kementerian perumahan pula mengeluarkan lesen yang membenarkan pemaju menjual dengan harga yang lebih tinggi dari yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
Oleh itu, kementerian perumahan perlu lebih bertanggungjawab.
ISKANDAR ABDUL SAMAD exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan negeri Selangor dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
