ULASAN Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat khususnya golongan muda supaya bersikap cakna dan prihatin terhadap kualiti urus tadbir kewangan negara dan negeri sebagaimana yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Peranan yang dimainkan oleh pihak Ketua Audit Negara sangat penting dalam menjunjung prinsip keadilan dan hisbah (ombudsman).

Ia menuntut pihak kerajaan supaya mengamalkan dasar dan sistem pengurusan khazanah negara dengan amanah dan akauntabiliti yang tinggi demi menjaga dan mengawasi kemaslahatan seluruh rakyat.

Laporan ini juga selaras dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu mengkehendaki ketua audit negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti kementerian serta agensi kerajaan dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya laporan itu dibentangkan di Parlimen.

Menarik untuk diketahui bahawa secara keseluruhannya bagi tahun 2011, kerajaan Persekutuan menerima hasil berjumlah RM185 bilion, peningkatan 16 peratus berbanding 2010 (RM159.65 bilion).

Disiplin pengurusan fiskal

Dan ia hasil yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun sejak tahun 2007.

Bagaimanapun, tahap disiplin pengurusan fiskal kerajaan memerlukan komitmen reformasi yang serius dari semua peringkat.

Laporan Ketua Audit Negara mencatatkan, kerajaan meluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM178 bilion yang juga merupakan peruntukan tertinggi diluluskan dalam tempoh 5 tahun.

Namun peruntukan tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan yang berjumlah RM183 bilion dan memerlukan peruntukan tambahan yang diluluskan oleh Parlimen pada 30 Mei 2012 bagi menampung defisit peruntukan tersebut.

Kerajaan persekutuan terus merekodkan kadar defisit berturut-turut sejak 1998 dan pada tahun 2011 mencatatkan defisit berjumlah RM42.5 bilion dengan nisbah kepada KDNK pada paras 4.82 peratus.

Kurangan ini ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri yang berjumlah RM113 bilion.

Paras kritikal

Menurut pemerhatian yang dibuat oleh Institut Polisi Studi Pemuda PAS, rakyat sewajarnya bimbang terhadap paras hutang awam yang menunjukkan graf kenaikan yang tidak sihat.

Pada akhir tahun 2011, hutang kerajaan persekutuan berjumlah RM456 bilion, terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM438 bilion dan hutang luar negeri RM18 bilion.

Ini menatijahkan nisbah hutang kerajaan persekutuan kepada KDNK pada paras 51.7 peratus, peningkatan sebanyak RM49 bilion (12 peratus) berbanding hutang pada tahun 2010 yang berjumlah RM407 bilion.

Lebih membimbangkan, jika kadar hutang persekutuan ini ditambah dengan kadar pinjaman yang dijamin berjumlah RM116 juta, nisbah hutang sebenar kepada KDNK telah pun melepasi paras kritikal 65 peratus.

Ini menuntut kepada urus tadbir yang telus dan mampan untuk mengelakkan negara terjerumus ke kancah kelembapan ekonomi dan belenggu hutang.

Justeru, Pemuda PAS di semua peringkat diseru untuk menggerakkan usaha-usaha kempen dan penerangan secara tersusun di peringkat nasional dan lokal.

Ini supaya rakyat dan generasi muda bangkit memperjuangkan keadilan bagi menyelamatkan amanah yang semakin hilang di tangan segelintir pemimpin yang alpa dan leka di dalam negara kita.

Selamatkan Malaysia!


NONENASRUDIN HASSAN ketua Pemuda PAS. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.