Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Politik isu keselamatan, satu pengkhianatan pada negara'

Golongan yang sanggup mempolitikkan isu keselamatan negara temasuk soal pembelian kapal selam Scorpene boleh disifatkan sebagai pengkhianat kepada negara, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    

Beliau berkata golongan pembangkang yang membangkitkan isu tersebut sanggup menjadi alat orang luar untuk memecah belahkan perpaduan rakyat malah perbuatan berkenaan tidak bertanggugjawab kerana boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Kita kesal tindakan ketua pembangkang yang cuba membawa peguam dari luar berhubung isu kapal selam. Pertama sekali, ia berkaitan isu keselamatan negara yang tidak sepatutnya dibangkitkan demi menjamin keselamatan negara kita.

"Kedua, kita negara berdaulat, mempunyai undang-undang dan peraturan yang harus dipatuhi. Ini menampakkan bahawa mereka akan menggunakan landasan apa sahaja untuk mencemarkan nama baik negara Malaysia. Tindak-tanduk mereka adalah demi kepentingan politik semata-mata," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita di sini hari ini selepas menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada 198 ketua isi rumah di Kampung Selamat yang menjadi mangsa kebakaran pada 18 Oktober lalu menyebabkan 1,455 orang kehilangan tempat tinggal.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian ketika mengulas hasrat pihak pembangkang dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan membawa peguam luar datang ke Malaysia berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.

    

Katanya, pihak pembangkang sepatutnya tidak mempolitikkan soal kapal selam milik negara ini kerana ia kelengkapan persenjataan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar.

    

Menurut Shafie, usaha kerajaan meningkatkan sistem pertahanan negara sepatutnya mendapat sokongan pihak pembangkang dan bukannya menyebarkan maklumat yang tidak benar berhubung kemudahan persenjataan negara untuk mengelirukan rakyat.

    

Beliau berkata pembangkang sepatutnya belajar daripada pengalaman beberapa negara maju yang dahulunya amat pesat membangun namun kebelakangan ini pembangunan mereka kian perlahan disebabkan sikap parti pembangkang di negara itu terlalu berpolitik.

- Bernama

ADS