Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak pengurusan Pasar Seni, Kha Seng Group hari ini mempertahankan kadar caj tambahan 12 peratus bagi peniaga yang lewat membayar sewa yang ditentang sekumpulan NGO hari ini.

Pengurus Kompleks Pasar Seni Cheong Wai Mun menjelaskan, kadar caj tambahan tersebut merupakan kadar biasa pusat membeli belah di negara ini yang antara 12 hingga 18 peratus.

"Kadar bayaran sewa di Pasar Seni adalah berpatutan, standard dan ia berdasarkan kepada harga pasaran semasa. Bangunan warisan lama ini juga perlu dinaiktaraf dan penjagaan.

"Ia (caj tambahan) telah dipersetujui oleh penyewa semasa mempersetujui tapak sewa tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.

Harga sewa di Pasar Seni bermula RM800.

Selain itu, Cheong berkata, penyewa yang mempunyai bayaran sewa tertunggak juga akan diberi peringatan disusuli oleh surat yang meminta agar penyewa menjelaskan bayaran.

Hari ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mendesak agar pemilik bangunan Pasar Seni, UDA Holding Berhad menukar pihak pengurusan baru bangunan warisan itu.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, peniaga Pasar Seni sekarang "ditindas", antaranya dikenakan caj tambahan sebanyak 12 peratus jika sewa lambat dibayar.

Mereka juga menampilkan seorang peniaga di situ Mohammad Zainahar Yuzkhairi yang mendakwa dihalau tanpa diberikan sebarang sebab pada 2 Oktober lalu.

Ditanya perkara itu, Cheong berkata, tindakan itu diambil kerana peniaga tersebut sewanya telah tertunggak selama 12 bulan dan tindakan itu terpaksa diambil.

Sebelum kami ambil alih pun dia ada masalah tunggakan," kata Cheong lagi.

ADS