Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Mesti 100 peratus jelas sebelum menghukum...

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya berkaitan isu kebebasan beragama agama seperti yang dilapor media.

Menurutnya, beliau tidak mendapat gambaran sebenarnya untuk mengulas berhubung kenyataan ahli parlimen Lembah Pantai itu.

"Kita tidak mendapat gambaran sebenar. Saya tidak boleh buat kenyataan. Kita tidak boleh bergantung kepada laporan media kerana tak lengkap," katanya.

Kemudian, wartawan cuba menjelaskan isi kenyataan Nurul Izzah itu, Abdul Hadi berkata: "Tidak boleh... Kita mesti baca sepenuhnya".

Hadir sama di sidang akhbar tersebut antaranya ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, dua Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa, serta Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Diasak wartawan bahawa laporan Utusan yang memetik laporan Malaysiakini berhubung kenyataan Nurul itu, Abdul Hadi berkata: "Kita kena detail, nak menghukum tak boleh".

Ditanya oleh wartawan sama ada mahu berjumpa dengan anak sulung ketua umum PKR itu, untuk mendapat penjelasan sebenar Abdul Hadi berkata:

"Kita rasa kita banyak hal-hal lain yang hendak kita hadapi terutama pilihan raya. Memang dekat dengan pilihan raya, memang dicari apa sahaja isu untuk dijadikan satu perkara sehingga kita tidak tumpu kepada pilihan raya," katanya.

Menurutnya lagi, dalam Islam sesuatu perkara mesti 100 peratus jelas sebelum membuat hukuman atau keputusan.

"Kalau 99 peratus jelas, 1 peratus tak jelas, maka kita tidak boleh hukum orang," kata Abdul Hadi.

ADS