Belajar dari pilihan raya presiden Amerika

ULASAN Pilihanraya Presiden Amerika 2012 menyaksikan pertembungan sengit antara penyandangnya Barrack Obama dari Parti Demokrat dengan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.

Dunia memberikan tumpuan khusus bagaimana perjalanan pemilihan Amerika Syarikat dan menonton penuh minat proses berkempen dan pemilihan presiden Amerika Syarikat yang berlangsung secara penuh demokratik.

Keputusan terkini menunjukkan Barrack Obama mengekalkan kedudukannya sebagai presiden Amerika Syarikat buat penggal kedua berturut-turut.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat memang terkenal sebagai negara yang mengamalkan dasar luar yang keras terhadap negara-negara lain. Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjatuh dan menaikkan pemimpin negara-negara tertentu. Mereka jugalah yang menentukan dasar negara-negara sasarannya supaya negara-negara tersebut ikut telunjuknya.

Namun sikap angkuh Amerika Syarikat di negara luar tidak pula diterjemahkan dalam negaranya. Rakyat di negara tersebut masih  menikmati kebebasan berpolitik dan demokrasi yang sebenarnya.

Buktinya, dalam pilihan raya presiden semalam rakyat AS berpeluang menggunakan  kuasa mereka menentukan pemimpin nombor satu negara tersebut dengan penuh demokratik.

Sebagai seteru politik, meskipun Obama adalah presiden Amerika, dalam menghadapi pemilihan presiden, kedua-dua pihak diberikan peluang dan ruang yang sama. Obama tidak menggunakan jawatannya untuk berkempen dengan menafikan hak kepada lawan politiknya.

Pentas di mana beliau berucap disitu juga Mitt Romney berpeluang berucap. Mitt Romney bebas mengkritik dasarnya, berdialog malah berdebat dalam ruang terbuka. Seluruh rakyat menjadi penonton melihat kehebatan kedua-dua tokoh mengemukakan hujah balas.

Media pula tanpa berpihak memberikan liputan sama adil kepada semua penyokong. Tidak kelihatan media menjalankan propaganda memburukkan mana-mana pihak. Untungnya Mitt Romney kerana sedikitpun beliau tidak difitnah oleh media dengan pelbagai propaganda yang direka-reka.

Malah, tidak kedengaran juga suruhanjaya pilihanraya AS dicemuh atau dicurigai rakyatnya kerana menimbulkan penipuan dalam senarai daftar pemilih, atau menjalankan sistem pilihanraya yang pincang.

Dalam mendepani pilihanraya umum ke-13 ini, sebaiknya PM belajar daripada proses pilihan raya Amerika Syarikat. Bermuhasabahlah dan bandingkan tahap demokrasi negara ini dengan Amerika Syarikat. Terlalu banyak jurang perbezaannya, sejauh langit dengan bumi dan PM boleh melihatnya sendiri.

Isunya, jika mahu menuruti proses pilihanraya seumpama AS, sanggupkah PM meletakkan jawatannya dan menyerahkan kuasanya kepada kerajaan sementara bagi mengendalikan kerajaan tatkala PRU berlangsung.

Mampukah PM turun berkempen atas nama ketua parti tanpa menggunakan kedudukannya dalam kerajaan dengan menabur janji, projek, habuan, imbuhan mahupun ugutan seperti yang berlaku selama ini.

Sanggupkah PM menggunakan jentera parti sendiri tanpa mengerahkan jabatan kerajaan turun berkempen bagi pihaknya. Adakah PM bersedia memastikan SPR tidak dikongkong atau dipengaruhi sehingga mebimbulkan kecurigaan rakyat bahawa ada tangan-tangan hitam yang mengganggu badan tersebut.

Kuatkah iltizam PM untuk membersihkan daftar pemilih, membuang undi pos, menghalang rakyat asing menjadi pengundi bagi memberi ruang pilihanraya yang benar-benar berwibawa.

Beranikah PM membenarkan media membuat liputan yang adil dan saksama kepada semua parti dan pemimpin tanpa berat sebelah atau fitnah.

Selain itu, bersediakan PM turun berdebat dengan Ketua Pembangkang di pentas terbuka disaksikan oleh jutaan rakyat dan disiarkan di media utama sebagaimana Obama dan Romney lakukan.

Paling utama, bersediakah PM menerima apa juga keputusan rakyat dalam PRU ke-13 dengan hati terbuka tanpa tindakan kotor meskipun beliau dan partinya akan kalah kepada Pakatan Rakyat?

MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ adalah timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.