Mahkamah tolak injunksi TOL, Lynas dibenar operasi

Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) hari ini dibenarkan beroperasi selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh tiga penduduk Kuantan.
    
Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya berkata injunksi itu ditolak kerana ia bukan sahaja melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), tetapi juga Lynas sebagai responden ketiga.
    
"Keseimbangan ekuiti perlu diputuskan bukan sahaja antara pemohon (penduduk Gebeng) dan MOSTI serta AELB, tetapi juga Lynas sebagai pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam keputusan kes ini," katanya.

Sebelum ini penduduk Kuantan yang diwakili peguam Datuk Bastian Pius Vendargon, memohon supaya mahkamah membekukan TOL bagi menghentikan operasi LAMP.
    
Pihak Lynas membuat permohonan untuk menjadi responden ketiga dalam semakan kehakiman terhadap permohonan penduduk Kuantan yang mencabar keputusan dua responden (MOSTI dan AELB) dalam pemberian TOL kepada Lynas sebelum ini.
    
Hakim juga dalam penghakimannya turut membenarkan Lynas menjadi responden ketiga dalam semakan kehakiman itu di mana tarikh semakannya belum diputuskan lagi.
    
Dalam pada itu, Vendargon ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu dalam masa dua hari.
    
Selain Vendargon, pemohon diwakili oleh Hon Kai Ping, R. Sarengapani, Anne Marie dan Gene Anand Vendargon manakala kedua-dua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Datin Noor Azzah Abdul Aziz dan Laila Muhamad Bostaman.

Lynas pula diwakili oleh Sunil Abraham, Wong Kah Hui and Emily Chin.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.