Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin PAS dilihat berdiam diri dan kaku berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di sebuah forum di Petaling Jaya Sabtu lalu.

Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali berkata, selain bisu dari memberi kenyataan, pemimpin PAS kini dilihat seolah-olah mempertahankan LGBT.

"Tidak ada lagi besar daripada memperjuangkan jihad di jalan Allah. PAS kini dah tak sebut perkataan jihad. Pemimpin PAS sebut demokrasi. Pemimpin PAS sebut tentang LGBT seolah-olah mempertahankannya.

"Pemimpin PAS kaku, bisu, beku bila kenyataan yang dikeluarkan oleh Nurul Izzah. Siapa sebelah Nurul Izzah? Pemimpin PAS. Beliau seorang doktor berpelajaran tinggi, pemimpin PAS pusat, hebat.

"Tapi akhirnya dia antara manusia yang bertepuk tangan meraikan Nurul Izzah. Atas nama kekuasaan tadi, kehadirannya sendiri meragukan kita," kata Hasan yang merujuk kepada ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof yang turut menjadi panel forum bersama Nurul Sabtu lalu.

Hasan berkata demikian dalam forum Kebebasan Bertukar Agama dari sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan anjuran NGO pendesak Melayu PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Turut hadir menjadi panel forum ialah Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina, Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI) Dr Yusri Mohamad, dan Naib Presiden PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin.

Dalam forum bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?", Nurul Izzah didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk orang Melayu.

Nurul bagaimanapun telah menafikan perkara itu dan dijangka akan membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Aduan itu dibuat kerana laporan Utusan Malaysia yang dilihat membuat tuduhan dan tidak menulis seperti apa yang beliau kata sebenarnya.

Sementara itu, Zulkifli Noordin yang juga ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Baru turut mempersoalkan tindakan PAS yang dilihat "mempertahankan" Nurul.

Menurut Zulkifli, PAS kini lebih mengutamakan kerusi berbanding perkara yang sebelum ini mereka perangi iaitu isu kebebasan beragama.

"Sekarang ini saya hairan dengan PAS boleh terima kenyataan Nurul Izzah. Bagaimana sekarang boleh pertahankan Nurul Izzah sedangkan sebelum ini mereka (PAS) menentang Majlis Peguam dalam menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)," katanya.

Tawar jadi peguam Utusan Malaysia

Dalam pada itu, Zulkifli turut menawarkan diri untuk menjadi peguam secara percuma kepada akhbar Utusan Malaysia sekiranya didakwa di mahkamah oleh Nurul Izzah.

Nurul sebelum ini menyatakan akan mengambil tindakan perundangan terhadap Utusan Malaysia dan Berita Harian kerana mendakwa kenyataannya telah disalahtafsirkan.

Justeru, Zulkifli dalam nada sinis memberitahu akan memberi kejutan kepada Anwar dan Nurul Izzah dengan barisan peguam kanan yang telah bersedia untuk mewakili Utusan Malaysia.

"Saya nak umumkan pada Utusan Malaysia, saya dan peguam kanan ini sedia jadi peguam untuk pertahankan Utusan Malaysia tanpa minta bayaran. Ini sumbangan kecil untuk pertahankan Utusan Malaysia.

"Saya nak beritahu Nurul Izzah dan Anwar siapa yang akan pertahankan Utusan Malaysia. Kamu akan terkejut beruk. Peguam kanan ini minta supaya nama tak didedahkan dulu.

"Ini strategi. Anwar akan terkejut. Nurul Izzah akan terkejut," kata Zulkifli yang berkata tujuan beliau membela Utusan bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, pada sidang media selepas forum malam tadi, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, forum tersebut diadakan tujuan forum itu diadakan bagi memberi memperbetulkan kekeliruan orang ramai mengenai kenyataan yang dibuat oleh anak sulung ketua pembangkang itu.

"Saya nak jelaskan di sini, forum kita anjurkan ini bertujuan untuk memperbetulkan kekeliruan mengenai kenyataan Nurul Izzah yang bahaya pada orang Islam dan Persekutuan.

"Forum ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak dan agama lain. Saya perlu jelaskan ini supaya tidak ada salah faham," katanya lagi.

ADS