Polis datang lagi ke Mkini, beredar dengan emel penulis

Polis datang semula ke pejabat Malaysiakini petang ini untuk hari kedua berturut-turut bagi meneruskan siasatan mereka berhubung surat pembaca mengenai kenyataan 'tiada paksaan dalam Islam' oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mereka bertemu dengan Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan; Ketua Pegawai Eksekutif, Premesh Chandran dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar selama kira-kira setengah jam.

NONEPihak Pengurusan Malaysiakini ditemani oleh peguam hak asasi
manusia Murnie Hidayah Anuar.

Dengan keizinan penulis surat tersebut, Steve Oh, Malaysiakini menyerahkan alamat emelnya kepada pihak polis.

"Saya tidak mahu anda (Malaysiakini) kehilangan komputer anda, jadi anda boleh berikan kepada pihak polis butiran emel saya, dengan bantahan, dan beri mereka kerjasama sepenuhnya...," kata Oh dalam surat terbukanya hari ini.

Polis beredar tidak lama selepas itu. Tidak seperti semalam di mana kenyataan diambil daripada tiga staf Malaysiakini, tiada kenyataan  diambil hari ini.

Pasukan yang diketuai pegawai penyiasat kanan ibupejabat polis Subang Jaya, ASP Nadzri Harun terdiri daripada tujuh anggota - kira-kira separuh daripada pasukan 15 orang semalam.

Mereka tiba di ibupejabat portal berita itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur, pada pukul 4 petang dan beredar di sekitar jam 4.30 petang.

Waran geledah Baru

Setibanya di pejabat Malaysiakini, mereka menyerahkan suatu waran geledah baru yang dikeluarkan oleh Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan. Tiada apa-apa yang dirampas.

NONEWaran geledah yang mereka bawa semalam dikeluarkan di bawah Akta Hasutan, yang mungkin merupakan satu kesilapan di pihak polis.

Nadzri mengulangi bahawa siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, bukan Akta Hasutan.

Seksyen ini berkaitan dengan kesalahan "menurutkan kata-kata... dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan keagamaan seseorang".

Jika disabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tempoh satu tahun atau denda atau kedua-duanya.

Surat yang sedang disiasat ditulis oleh Oh dan diterbitkan oleh Malaysiakini pada hari Isnin, bertajuk 'Nurul's watershed idea for the nation'.

Semalam, polis menghabiskan masa selama 90 minit merakam kenyataan Fathi; Pengarang Berita, Gerald Martinez dan Pengurus Sumber Manusia, A Shamini.

NONEGan (kiri) menyifatkan pertemuan dengan pihak polis hari ini sebagai
mesra.

"Tiada komputer kami yang dirampas. Oleh itu, kerja-kerja kami tidak terganggu," katanya.

Malaysiakini diserbu oleh pihak polis pada tahun 2003 dan 19 komputer dirampas. Insiden itu juga berkaitan dengan sepucuk surat kepada editor yang ditulis oleh seorang pembaca.

Bagaimanapun, tiada pertuduhan difailkan dan kes itu akhirnya ditutup dua tahun kemudian.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.