Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Jabatan Veterinar S'wark tak patuh SOP kementerian

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dalam mengambil sampel dan menganalisis produk ayam keluaran Ayamas Food Corporation Sdn Bhd, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    

Liow berkata beliau difahamkan bahawa jabatan berkenaan mula mengambil sampel produk itu pada Mei untuk dianalisis sehingga Ogos tahun ini tetapi hanya mengumumkan keputusannya pada 1 November.

    

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perubatan Cina Sedunia 2012 di Kuching hari ini, beliau berkata jabatan itu tidak memaklumkan kepada kementeriannya terlebih dahulu sebelum mengumumkan larangan mengimport dan menjual produk Ayamas di Sarawak.

    

"Saya rasa SOPnya kena maklum dengan Kementerian Kesihatan supaya kita boleh bantu. Kementerian Kesihatan selalunya kita buat sampel segera. Ini tidak boleh dilambatkan kerana apa yang penting sekarang rakyat perlu diberi maklumat yang cepat dan tepat dan tindakan juga perlu cepat," katanya.

Beliau berkata demikian untuk memperjelaskan pengumumannya di Parlimen Khamis lepas bahawa produk Ayamas yang dianalisis kementeriannya tidak mengandungi antibiotik Chloramphenicol, bertentangan dengan keputusan yang diperoleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam analisis mereka yang diumumkan pada 1 November.

Sambil mengakui bahawa menjadi tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk membuat keputusan berhubung pengimportan produk Ayamas ke negeri ini, Liow berkata mereka seharusnya memberi maklumat terkini mengenai perkara itu kepada kementeriannya.

    

"Kita perlu memaklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku sekarang. Anda (jabatan) memberi saya data yang dikumpul beberapa bulan dahulu. Saya tidak boleh bertindak berdasarkan data yang dikumpul beberapa bulan lepas," katanya.

- Bernama

ADS