Noh persoal k'jaan S'gor ambil tanah Yayasan S'gor

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan tindakan dan tujuan kerajaan Selangor mengambil tanah milik Yayasan Selangor seluas 7.32 hektar di Klang.
    
"Saya tidak faham mengapa kerajaan negeri rampas tanah itu daripada Yayasan Selangor...kita terima ia gagal dibangunkan seperti perjanjian yang dibuat namun tanah berkenaan tidak sepatutnya diambil.
    
Beliau berkata alasan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri itu ekoran kegagalan sebuah syarikat membangunkannya, adalah tidak wajar kerana ia sepatutnya diberikan kepada Yayasan Selangor.
    
"Abdul Khalid selaku pengerusi yayasan itu sepatutnya lebih peka dan faham bahawa tanah berkenaan tetap milik Yayasan Selangor dan tidak sepatutnya dirampas oleh sesiapa termasuk kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri Selangor 2012 di Dataran Banting hari ini.
    
Noh mendakwa Yayasan Selangor masih menjadi pemilik asal seperti yang tercatat dalam geran tanah berkenaan, malah yayasan itu juga yang membuat bayaran premium tanah sebelum ini.
    
Semalam, Abdul Khalid dalam satu sidang media, memperjelaskan bahawa  tanah tersebut bukan lagi di bawah kuasa Yayasan Selangor kerana ia telah diserahkan kepada sebuah syarikat persendirian pada 2002 oleh kerajaan negeri BN.

Beliau menafikan dakwaan kononnya tanah tersebut akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Beliau berkata buat masa ini lot tanah itu masih kosong dan pihaknya belum terfikir untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di situ.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.