476 usul dibahas dalam perhimpunan agung Umno 2012

Sebanyak 476 usul daripada 191 bahagian Umno dipersetujui untuk dibahaskan dalam perhimpunan agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 27 November hingga 1 Disember ini.

Naib Presiden Umno yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya menerima 521 usul dan 45 daripadanya diterima tanpa bahas manakala tiada usul ditolak.

"Usul-usul yang akan dibentangkan kali ini dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu usul ekonomi yang akan diselaras Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, usul agama oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan usul pendidikan serta sosial dikendali oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya dalam situ sidang media di ibunegara semalam.

Beliau berkata perjalanan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diselaraskan dengan lebih terperinci dan mesyuarat jawatankuasa susulan akan digerakkan bagi menambah lebih ramai jawatankuasa untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan lancar.

Hishammuddin berkata perhimpunan agung Umno 2012 iaitu yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 itu dianggap sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera parti.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.