IGP: JAIS siasat kenyataan Nurul Izzah

Anggota polis terutamanya yang bertugas di barisan hadapan membanteras jenayah, diminta supaya sentiasa berwaspada dengan mereka yang tidak bertanggungjawab, bersikap ganas dan tidak menghormati polis yang melaksanakan undang-undang negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta anggota polis bertugas secara berkumpulan bagi mengelakkan penjenayah bertindak ganas, sekaligus menumpaskan penjenayah dengan lebih cepat dan cekap.

"Dalam kejadian di mana penjenayah mengambil tindakan liar dengan melepaskan tembakan, ini adalah cabaran pada perkhidmatan polis dan kami sentiasa menilai pencapaian dan cara-cara kita bekerja untuk meningkatkan lagi tugasan kita," katanya kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang cedera terkena tembakan penjenayah, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu hari ini.

L/Kpl Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, dari Balai Polis Paloh, Gua Musang dan Kpl Mat Raduan Mat Hassan, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang cedera ditembak penjenayah baru-baru ini.

Ismail berkata bagi mengelakkan pegawai dan anggotanya tercedera pada masa hadapan, pihaknya akan menyemak latihan yang dilaksanakan di pusat latihan polis bagi meningkatkan lagi ciri-ciri untuk anggota polis bertindak dalam situasi tertentu.

Mengenai dua anggota polis yang cedera itu, beliau berbangga dengan kesungguhan mereka bertugas dengan mempertaruhkan nyawa mereka demi menjaga kepentingan masyarakat, di samping menunjukkan polis tidak patah semangat untuk menjejaki penjenayah walaupun selepas rakan mereka terkena tembakan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak HRPZII kerana telah memberikan respons segera dan menawarkan perkhidmatan perubatan yang baik menyebabkan kedua-dua anggota polis itu selamat.

Mengenai kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama sehingga menimbulkan  kontroversi, Ismail berkata siasatan dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 Nov.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.