MB Kedah: Majoriti sokong kepimpinan parti

Desakan supaya pemimpin PAS kembali ke tujuan asal datang daripada suara minoriti dan pihak yang tiada locus standi, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu berkata kebanyakan pihak yang terbabit dalam wacana 'Kembalikan PAS Ke Landasan Asal' pada Sabtu lepas telah dipecat dan merupakan bekas anggota parti itu.

NONE"Itu pandangan minoriti yang tiada locus standi... majoriti sokong apa yang dibuat kepimpinan parti, kita pun tak nampak apa yang tak baik.

"Lagipun hampir semua pemimpin dalam PAS masih lagi di kalangan ulamak, tidak ada masalah siapa pun jadi pemimpin, asalkan mereka memperjuangkan Islam," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas laporan berhubung wacana 'Kembalikan PAS Ke Landasan Asal' yang meluluskan 11 resolusi mendesak kepimpinan parti itu mengembalikan semula dasar perjuangan asalnya.

Resolusi itu menyentuh corak segelintir pemimpin PAS yang didakwa tidak mencerminkan Islam, selain menggesa parti bekerjasama dengan Umno, bukannya DAP, demi kepentingan agama.

Mengulas kerjasama dengan DAP, Azizan berkata politik masa kini memerlukan strategi dan hubungan dua hala.

"Dulu bila politik tertutup (sebelum bekerjasama dengan DAP), mereka kata PAS tak faham masyarakat majmuk, dan sekarang bila terbuka, mereka kata terbabas pula, tapi itu hak mereka la nak kata apa pun," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.