Najib: Kaji semula struktur industri hiburan supaya adil

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kajian semula dibuat berhubung struktur industri hiburan yang tidak memberi pulangan adil kepada artis tanah air.

Najib berkata beliau akan meminta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) mengemukakan cadangan bernas untuk membantu kerajaan membuat keputusan bagi membantu mewujudkan industri hiburan yang adil dan seimbang.

NONE"Saya difahamkan ada penyanyi dan pelakon yang dapat royalti yang agak kecil dan pihak lain dapat pulangan yang agak besar, pada hemat saya, keadaan ini tidak seimbang dan tidak adil kepada seniman tanah air, ia perlu diperbetulkan," katanya ketika melancarkan YA1M di ibu negara malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Rais, Presiden YA1M Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave dan Penasihat YA1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib berkata kajian juga perlu berhubung pelaksanaan skim insurans perlindungan terhadap seniman untuk membantu mereka sekiranya jatuh sakit.

"Kalau jatuh sakit, sakit yang sebenar bukan sakit dalam filem, kita tak naklah terpaksa minta sedekah pada orang, sepatutnya para artis ada perlindungan yang sepatutnya ketika sakit," katanya.

Selain itu, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi suntikan dana sebanyak RM2 juta kepada YA1M tahun ini, dan RM3 juta pada tahun depan bagi membolehkan yayasan tersebut melaksanakan aktivitinya.

Najib berkata dengan penubuhan YA1M dan sokongan daripada kerajaan, masa depan artis tanah air akan mendapat pembelaan yang lebih baik.

Beliau berkata artis dilihat sebagai ikon, tetapi hanya sebahagian kecil sahaja masyarakat yang faham bahawa hakikatnya, mereka juga merupakan insan biasa yang mempunyai keadaan pasang surut, turun naik serta suka duka sebagai anak seni.

"Keadaan ini tentulah lebih rumit lagi, mungkin lebih mencengkam kepada kehidupan apabila seorang seniman itu melewati umur yang boleh dianggap sebagai umur yang boleh mempertahankan kedudukan sebagai seorang seniman popular.

"Dalam keadaan bila dah hampir senja, tentu tekanan hidup akan terasa sehingga mereka tidak mampu buat persediaan untuk hari muka mereka apabila menjadi warga emas dalam masyarakat," katanya.

Najib memberi contoh kisah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang tidak mampu meninggalkan harta menimbun setelah kembali ke rahmatullah walaupun beliau seorang seniman yang agung.

Beliau berkata semoga dengan berkat sokongan artis dan seniman terhadap penubuhan yayasan ini, kerajaan yang ada hari ini dapat kekal memimpin negara ke arah masa depan lebih baik.

"Kalau sokong kerajaan hari ini, saya jamin pengkisahan yang manis bagi rakyat," katanya.

YA1M merupakan satu badan untuk memajukan kebajikan warga artis tanah air, khasnya anggota yayasan, melalui bantuan meliputi kesihatan, khairat/derma kematian, bencana dan sebagainya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.