Perhilitan pindah gajah liar di hutan Pasir Puteh

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di kawasan hutan Felcra Teratak Batu di Pasir Puteh ke taman negara yang terletak di sempadan negeri Kelantan-Terengganu, semalam.

Gajah jantan seberat lima tan metrik dan setinggi tiga meter itu ditangkap anggota renjer jabatan tersebut setelah didapati berkeliaran di kawasan hutan berkenaan dua hari lepas.

Pengarah Perhilitan Kelantan Rahmat Topani berkata penangkapan haiwan itu dapat menyelesaikan masalah yang boleh mengancam keselamatan penduduk di sekitar kawasan hutan tersebut.

"Pemindahan gajah itu ke taman negara hanya sementara sebelum ia dipindahkan ke kawasan kekal di Pusat Konservarsi Gajah di Kuala Gandah, Pahang," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.

Rahmat berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan di kawasan hutan di Pasir Puteh itu bagi memastikan tidak ada gajah liar lain di situ.

Beliau meminta penduduk membuat laporan segera kepada pihaknya jika terserempak dengan gajah di kawasan berkenaan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.