Rakyat M'sia sekali lagi dinasihat tangguh ke Syria

Rakyat Malaysia sekali lagi dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang lawatan ke Syria ketika ini berikutan keadaan keselamatan di negara itu semakin meruncing dan membahayakan keselamatan umum, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Beliau berkata pihaknya bimbang dengan situasi keselamatan yang semakin buruk di negara itu dan akan terus memantau perkembangan di sana.

"Mengambil kira situasi semasa dan Nasihat Perjalanan pada 21 Julai 2012, kementerian sekali lagi ingin menasihatkan semua rakyat agar menangguhkan atau tidak melakukan sebarang lawatan ke negara itu buat masa ini," katanya dalam kenyataan di ibu negara.

Anifah berkata pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik masih ditutup sejak Julai lepas.

Mengikut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh dalam konflik di negara itu sejak pemberontakan menentang kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad tercetus pada Mac 2011.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.