46,902 kes jenayah terhadap wanita sejak 2007

Sebanyak 46,902 kes jenayah rogol, sumbang mahram, cabul dan keganasan rumah tangga terhadap wanita direkodkan sejak 2007 sehingga Mac tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei.
    
Berikutan itu, katanya, kempen pencegahan jenayah perlu dipertingkatkan bagi membantu golongan wanita menyedari bentuk jenayah terhadap mereka.
    
Selain kempen pencegahan jenayah, katanya, kerajaan turut menyediakan perkhidmatan sokongan emosi dan perlindungan kepada mangsa jenayah dan keganasan.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan  Kempen Keselamatan Wanita 2012 di sini hari ini. Kempen ketujuh daripada 20 itu dibiayai oleh Sime Darby dan Redberry dan diadakan di seluruh negara pada bulan ini.
    
Kempen itu merangkumi bengkel anti jenayah, sesi dialog bersama Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Rukun Tetangga serta pameran untuk membantu golongan wanita bersiap siaga dan lebih peka terhadap aspek keselamatan diri.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.