Muktamar PAS bakal panas isu Nasha, Nurul dan hudud?

Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu selama tiga hari bermula 16 November ini dijangka menjadi medan terbaik perwakilan untuk membahaskan usul, isu dan tindakan mengenai perkara berbangkit menjelang pilihan raya umum berlangsung.

Walaupun secara umumnya, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata usul dan perbahasan tertumpu kepada pilihan raya, kepimpinan parti itu tidak dapat tidak, bakal berdepan kritikan atau cadangan terhadap isu yang memberi kesan terhadap pendirian PAS.

Antaranya isu yang bakal memanaskan Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK) seperti pendirian PAS terhadap kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung isu kebebasan beragama, isu negara Islam, hudud dan serangan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek, kerjasama PAS-DAP dalam Pakatan serta serangan bahawa PAS telah lari daripada landasan sebenar.

Tidak kurang juga isu prestasi pentadbiran Pakatan khususnya di Kedah selepas Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan kelemahan pengurusan kerajaan negeri dan kemelut kepimpinan.

Persoalannya, apakah isu-isu itu cuba ditenggelamkan oleh PAS daripada terus dibincangkan dengan sebaliknya memfokuskan kepada persiapan jentera parti dalam perbahasan bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang.

Beberapa tokoh PAS dan penganalisis politik yang dihubungi Malaysiakini memberikan pandangan yang berbeza berhubung perkara tersebut.

Menjawab persoalan itu, seorang penganalisis politik menolak tanggapan bahawa PAS tidak akan membincangkan perkara itu sekaligus menjangkakan ia terus akan dibangkitkan oleh perwakilan.

"Muktamar rasmi nanti, semua perkara itu akan dibangkitkan. Kalau tidak boleh dalam (perbahasan) usul, akan bangkitkan dalam ucapan. Kalau tak boleh, akan dibuat usul tergempar. Ia boleh dibuat.

"PAS tidak boleh kawal. Perwakilan akan tetap bercakap apa yang mereka rasakan betul... Tak berbangkit (mahu tenggelamkan isu)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau yang enggan namanya disebut berkata isu Nurul Izzah, kerjasama PAS-DAP, hudud dan kenyataan bekas timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Hasan Ali mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan dilihat saling "berkait rapat" antara satu sama lain untuk dibahaskan.

"Cuba mungkin sudut pandangan (untuk perbahasan) sahaja yang berbeza... Jika PAS mahu ke hadapan, PAS kena fokus serta terima kepelbagaian (pandangan)," katanya.

Menurut sumber, sejauhmana sokongan dan pengaruh kedua-dua pemimpin itu - Nasharuddin  dan Hasan  - "akan teruji", juga akan ditentukan sewaktu perbahasan itu nanti sekalipun tiga muktamar parti sebelum ini sebulat suara membuat keputusan supaya PAS tetap dalam Pakatan.

"Apakah pengaruh Nasharuddin diperlukan ataupun tidak, ia ditentukan sama ada usul yang dibentangkan ada 'nada' beliau. Kalau banyak peratusan (kata) ya, maknanya (perwakilan) masih sokong Nasharuddin.

"Kalau sebulat suara (tak mahu) maknanya (sokongan) Nasharuddin dan Hasan tiada. Muktamar ini akan menilai, ada atau tidak (sokongan mereka)," katanya merujuk kepada syor Nasharuddin yang mendesak PAS mengkaji semula kedudukannya dengan DAP selepas timbul isu hudud.

Selain itu ialah tumpuan dan strategi untuk mendapatkan sokongan Melayu di kawasan yang ditandingi parti itu sekiranya PAS mampu mengkaji budaya dan psikologi Melayu di kawasan yang ditandingi mereka menentang Umno.

"Jadi PAS kena bersedia. Kalau masih terpengaruh dengan kenyataan Nasharuddin, kita akan bergaduh sesama sediri," katanya.

Sementara itu, tiga pemimpin PAS - Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Hu Pang Chaw- bagaimanapun tidak melihat isu-isu itu, akan menenggelamkan fokus utama parti mengenai persiapan jentera pilihan raya.

Bahkan, mereka bersetuju dengan Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang bahawa muktamar kali ini menjadi medan terbaik untuk memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mahfuz mengakui pentas perbahasan akan panas dengan perbahasan berkisar tentang "kedurjanaan" BN yang membiarkan Chua menyerang berhubung isu hudud.

Tegasnya, perkara tersebut akan menjadi "agenda besar" dalam perbahasan yang bakal disertai kira-kira 1,1000 perwakilan dari seluruh negara.

"Saya pasti ia akan menjadi agenda besar dalam muktamar untuk memberi isyarat  jelas kepada orang Melayu menolak BN... Agenda perbahasan untuk memastikan BN menemui ajal politik," katanya.

Manakala, Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian pula berpendapat muktamar PAS konsisten untuk terus menerangkan polisi terhadap masyarakat Tionghua untuk memahami konsep "Negara Berkebajikan".

"Kita tidak akan terperangkap dalam isu yang dibangkitkan oleh Chua. Tapi apa yang mungkin adalah terus memberi penerangan kepada masyarakat Tionghua tentang kebaikan Islam, polisi PAS dan negara berkebajikan," katanya.

Hu yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula berkata, serangan MCA tidak berkesan kerana isu hudud tidak mendapat sambutan khusus di kalangan masyarakat Cina.

“(Serangan) MCA hanya membantu PAS untuk mendapat lebih banyak undi Cina. Dari sudut DHPP, kita lebih mengutamakan dapat sokongan Melayu, terutamanya di Johor,” katanya.

Ketiga-tiga pemimpin itu turut beranggapan isu kenyataan Nasharuddin, Hasan Ali, dan Nurul Izzah tidak akan menjadi perbahasan penting kerana perwakilan sudah matang dengan manipulasi BN dan "tidak ada keperluan" untuk membincangnya.

"Saya percaya kematangan perwakilan yang sudah memahami manipulasi BN. Ia tidak menjadi agenda dalam perbahasan. Tiada keperluan. Saya tidak nampak (kewajaran bahas), kita jangan terperangkap dengan Umno dan BN," kata Mahfuz.

"Ahli tidak akan layan mereka (Nasharuddin dan Hasan), langsung tidak mahu menyebut nama mereka pun tidak mahu. Saya jangka, namanya (Nasharuddin) pun tak akan disebut. Dia boleh datang, tak ada apa masalah," kata Salahuddin.

“Nasharuddin patut hilang di dalam udara. Lagipun dia (Nasharuddin) tidak mendapat sokongan dari akar umbi, kita tidak perlu mengambil berat terhadap Nasha,” kata Hu pula.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz yakin muktamar kali ini bakal memperbaharui azam perwakilan bersama Pakatan Rakyat dan memastikan momentum dan daya pecutan 'gear lima' kepada ahli akar umbi bagi berdepan dengan pilihan raya umum.
 
"Ia untuk memastikan Umno-BN ditolak dalam pilihan raya umum akan datang. Saya lihat mood tersebut. Sebelum ini kita buat tekad dan sepakat tetapi kali ini kita mahu memperbaharui azam supaya keyakinan masyarakat tidak goyah kepada kepimpinan parti," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.