GPMS tawar kerja pada 7 graduan KUIN tak diiktiraf MQA

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah bersedia menawarkan pekerjaan kepada tujuh lulusan Sarjana Muda Al-Quran Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
    
Pengerusinya Shamsul Bahar Abd Ghani berkata pihaknya mempelawa mereka menjadi tutor kelas tambahan yang akan dibuka GPMS Kedah pada Disember ini.
    
"Mereka akan mengendalikan kelas al-Quran, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini hari ini.
    
Katanya diharapkan dengan cara itu siswazah terbabit dapat menyelesaikan hutang pinjaman pengajian mereka mengikut jadual.
    
"Boleh dikatakan setiap pelajar mendapat pinjaman berjumlah lebih RM3,000 setiap semester peringkat ijazah, namun disebabkan sukar mendapat kerja mereka tidak dapat membayar balik wang pinjaman," katanya.
    
Jika berminat, mereka boleh menghubunginya di talian 016-3862042 atau Salihuddin Lahamin (019-5481900) untuk maklumat lanjut, kata Shamsul Bahar.
    
Difahamkan tujuh siswazah terbabit yang ijazahnya tidak diiktiraf MQA kini terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi serta menoreh getah untuk menyara hidup sementara menunggu kelulusan sijil.
    
Media pada 24 September lalu melaporkan tujuh siswazah itu terkejut apabila mendapati ijazah yang diterima mereka pada Konvokesyen Kuin 17 September lepas tidak diiktiraf MQA.
    
Sementara itu, Shamsul Bahar berkata GPMS Kedah turut menggesa Kuin menarik balik yuran RM1,000 bagi satu semester yang dikenakan terhadap pelajar mengikuti pengajian peringkat Diploma Al-Quran dan Qiraati sejak Julai lepas.
    
Katanya sebelum ini program tersebut diberi secara percuma kepada pelajar dan berharap program percuma tersebut diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar kurang berkemampuan mengikutinya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.