Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco kanan kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu berkata beliau menerima satu surat tuntutan daripada MP Hulu Selangor P Kamalanathan berhubung dakwaannya sebelum ini yang mengaitkan MP BN itu dengan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Liu berkata, surat tuntutan permohonan maaf tersebut diterima di pejabatnya hari ini dan beliau akan berbincang dengan peguamnya sebelum mengambil tindakan lanjut.

NONE "Akhirnya sudah sampai surat di ofis saya. Dan pembantu peribadi saya telah terima surat bagi pihak saya.

"Tetapi setakat ini saya belum buat apa-apa. Saya akan buat rundingan dengan peguam saya terlebih dahulu dan rundingan dengan (peguam) Gobind Sigh (Deo)," katanya.

Dalam sidang media di pejabat SUK di Shah Alam petang ini, Liu berkata Kamalanathan (gambar) dalam surat tersebut akan menuntut bayaran sebanyak RM1 juta daripadanya sekiranya beliau tidak memohon maaf.

Surat tersebut adalah susulan daripada kenyataan Kamalanathan pada 30 Oktober lalu berhubung tuntutan sama.

Dalam laporan The Star hari ini, MP BN itu berkata beliau hanya berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Perbandaran Selayang daripada 2004 hingga 2006 dan projek kondominium itu hanya dibincangkan dan diluluskan pada 2007.

Beliau mengulas kenyataan Liu yang mendakwa Kamalanathan, selain Senator A Kohilan Pillay dari Gerakan, merupakan antara mereka yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut.

Kohilan dan Kamalanathan menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Selain dakwaan tersebut, Liu turut mendedahkan dokumen yang menunjukkan bahawa kerajaan BN meluluskan projek tersebut pada tahun 2007.

ADS