Dewan Ulama: Pertahan PAS dari 'fikrah al-Haddamah'

Dewan Ulama PAS berikrar untuk mempertahankan parti Islam itu daripada diresapi pemikiran yang dibimbangi akan merosakkan hala tujunya.

Perkara itu ditegaskan dalam satu usul yang dikemukakan wakil Dewan Ulama PAS kawasan Kemaman, dan yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamar hari ini.

"Menyedari bahawa PAS merupakan satu gerakan untuk mendaulatkan kalimah Allah berdasarkan kepada tuntutan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma' dan Qias, maka sudah tentu dasar dan prinsip ini tidak akan berubah sama sekali dan PAS akan terus mempertahankannya.

"Dewan Ulama PAS hendaklah menjadikan benteng Islam untuk memelihara dasar dan kesucian parti daripada diresapi oleh mana-mana 'fikrah al-Haddamah' yang boleh merosakkan fikrah dan hala tuju parti," usul itu dipetik.

Bimbang ajaran Syiah

Kira-kira 500 perwakilan Dewan Ulama PAS kawasan dan negeri hadir di sebuah dewan di Perdana Resort, sewaktu usul itu dibacakan.

Usul berkenaan tidak menyatakan dengan jelas "pemikiran yang merosakkan" tersebut, namun dapat diperhatikan bahawa para perwakilan dalam muktamar Dewan Ulama hari ini banyak menimbulkan kebimbangan mengenai fahaman Syiah.

Perwakilan berkenaan antara lainnya menyatakan bahawa fahaman tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai bahan mainan kerana ajaran tersebut melibatkan akidah dan bukannya "masalah cabang agama" semata-mata.

Malah, ada juga perwakilan yang menyatakan kekecewaan kerana sesetengah pemimpin berkenaan didakwa menganggap Syiah sebagai perkara remeh.

Sedangkan, golongan akar umbi terpaksa menahan kritikan apabila terpaksa menjelaskan mengenai isu berkenaan, menurut perwakilan tersebut.

Kebimbangan itu juga dapat diperhatikan melalui kisah yang dikongsi para perwakilan berkenaan – termasuk mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Melaka yang merampas sejumlah 12,000 buku, VCD dan risalah yang didakwa mengandungi unsur Syiah.

Wakil Dewan Ulama PAS Melaka, yang membangkitkan mengenai tindakan penguatkuasaan itu bimbang bahan berkenaan akan tersebar ke negeri lain.

Audit syariah

Selain usul tersebut, Dewan Ulama hari ini turut meluluskan satu usul supaya PAS menubuhkan satu unit audit syariah bagi mengaudit perjalanan badan eksekutifnya.

Usul yang dikemukakan wakil Dewan Ulama Wilayah Persekutuan itu mencadangkan supaya PAS mengaudit ahli jawatankuasa parti, badan perhubungan negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Dua usul lagi yang diterima majoriti perwakilan antara lain meminta ulama diberi peranan supaya menasihati pemimpin dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin PAS agar "pentadbiran kerajaan negeri tidak tergelincir daripada matlamat perjuangan parti".

Usul tersebut dicadangkan oleh Dewan Ulama Pulau Pinang dan dibahaskan oleh tiga perwakilan antaranya Urusan Ulama kawasan Pokok Sena dan perwakilan Perak dan diterima sebulat suara kira-kira 500 perwakilan yang hadir.

"Saya mahu PAS Pusat menasihatkan Umara' (pemimpin) supaya mendengar nasihat daripada ulama. Kalau mereka tidak mendengar, sudah tentu apa yang hendak dilaksanakan tidak dapat dilakukan," kata wakil daripada Pokok Sena kita membahas menyokong usul tersebut.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.