Tiga anggota polis didakwa atas tuduhan rogol

dikemaskini Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai, Jumaat lepas.
    
Konstabel Remmy Anak Dana, 25, Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga jam 7.30 pagi 9 November lepas.
    
Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol, mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan
hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk mengambil kenyataan daripada saksi-saksi, manakala Timbalan Pendakwa Raya adalah Suhaimi Ibrahim dan Nurashikin Mokhtar.

NONEPeguam Rosli Ismail bertindak sebagai peguam pemerhati. Peguam S Anthonysamy mewakili Remmy manakala peguam Parmjit Singh pula mewakili Nik Sim dan Syahiran.

Suhaimi memohon supaya tertuduh ditahan sementara menunggu perbicaraan kerana menurutnya, jika mereka telah dibebaskan dengan ikatjamin, ketiga-tiganya mungkin mengganggu saksi kerana mereka dikenali tertuduh.

Beliau juga memohon supaya kenyataan mangsa diambil di bawah Seksyen 396 Kanun Tatacara Jenayah pada tarikh yang lebih awal daripada tarikh perbicaraan supaya dia boleh kembali ke negaranya.

Nabishah kemudian menetapkan ikat jamin RM25,000 tiap seorang, dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak mengganggu saksi.

Sejak jam 8 pagi tadi, ramai wartawan telah berkumpul di bangunan mahkamah, menunggu ketibaan suspek.

Mereka akhirnya tiba pada jam 2.15 petang, dan diiringi tiga anggota polis. Ketiga-tiganya memakai pakaian lokap berwarna oren dan menutup muka mereka dengan baju mereka.

Sebaik sahaja ternampak ketiga-tiga mereka, kumpulan jurukamera bergegas untuk merakam gambar.

Pemangku Ketua Pengarah Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah turut hadir di mahkamah. Kira-kira 30 'penyokong' dalam uniform polis dan pakaian biasa turut hadir.
 

[Baca berita penuh]

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.