Hadi: 'Negara berkebajikan' lebih baik dari '1Malaysia'

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempromosikan tema "negara berkebajikan" dalam ucaptamanya di muktamar parti itu sebagai asas perpaduan yang lebih baik daripada slogan "1Malaysia" BN.

Katanya, slogan 1Malaysia itu tidak akan mewujudkan perpaduan memandangkan "tiupan angin perkauman sempit", menurutnya masih berlaku.

Hadi berkata, beliau memilih tema "Negara Berkebajikan Teras Perpaduan" itu kerana perpaduan umat, menurutnya menjadi cabaran terkini di setiap negara dan bangsa di seluruh dunia.

NONE"Perpaduan dalam negara kita pula tidak akan wujud dengan laungan 1Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan angin perkauman sempit dan tindakan yang menekan rakyat berbilang agama dan bangsa yang wujud dalam negara kita.                  

"Perpaduan dan rahmat inilah yang menjadi tujuan kepada Islam, sebagai risalah akhir zaman oleh Rasulullah SAW yang berbeza dengan para rasul sebelumnya," katanya.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang berkata PAS berusaha menjalankan usaha dakwah dan penyebaran fahaman politik (tarbiyah siyasah) kepada masyarakat dengan memberi penjelasan dalam bahasa mudah.

Beliau berkata tema muktamar lalu bertajuk "Membangun Negara Berkebajikan" mengundang salah anggapan di kalangan lawan dan pemerhati.

Hinggakan, ada pihak yang membuat kenyataan terbuka bahawa "PAS sudah menyeleweng daripada matlamat perjuangan menegakkan Islam", katanya.

NONEBeliau menjelaskan, anggapan itu timbul kerana golongan berkenaan tidak memahami bahasa Arab.

"Anggapan ini adalah kerana mereka tidak memahami bahasa al-Quran dan terpengaruh dengan bahasa asing “negara kebajikan (welfare state)” yang menafsirkan kebajikan dengan makna yang sempit," katanya.

Abdul Hadi berkata kebajikan adalah tajuk kepada ajaran Islam yang  menyeluruh, seperti maksud istilah bahasa Arabnya - Al-Khair.

Jelasnya, istilah itu meliputi ajaran Islam yang dibawa dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan maksud Islam yang sempurna dan ajarannya yang menyeluruh.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.