Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karpal: Kenyataan Harun Taib menyimpang, berniat jahat
Diterbitkan:  Nov 16, 2012 5:36 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Pengerusi nasional DAP Karpal Singh hari ini dengan keras menafikan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berhubung kesediaan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan hudud.

MP Bukit Gelugor itu malah menyifatkan Harun "menyimpang jauh daripada kebenaran dan berniat jahat" apabila turut menyatakan bahawa beliau hanya kelihatan tidak bersetuju dengan hudud.

"DAP sejak sekian lama berulang kali menegaskan pendirian kami terhadap pengenalan hudud di negara ini.

"Hudud tidak boleh wujud dalam Malaysia yang merupakan negara sekular," tegas Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, DAP tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu kerana ia penting kepada asas kewujudan parti itu.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutan) pada 29 Februari 1988 yang menetapkan Malaysia ditadbir undang-undang sekular.

"Sudah pasti, saya sentiasa tidak bersetuju dan secara terbuka menyatakan alasan kepada pendirian itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tafsirannya seperti ditetapkan mahkamah tertinggi negara ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Harun bahawa Pakatan bersetuju "secara umumnya bahawa bukan sahaja hudud tapi syariat Islam itu dilaksanakan selepas berjaya mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin Malaysia".

Harun juga semalam mendakwa, Kapral selama ini menolak ini menolak hudud kerana "tidak sempat mengikut dialog dan penjelasan" yang dilakukan PAS.

Harun juga berpendapat, ahli politik DAP itu hanya kelihatan seperti tidak bersetuju kerana DAP dan PAS sudah kerap berdialog tentang undang-undang itu.

Harun berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS di Kota Bharu semalam.

ADS