KSN: Keputusan ganti YDP MPS atas permintaan S'gor

Penamatan peminjaman Datuk Zainal Abidin A'ala sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mulai semalam adalah dibuat atas cadangan kerajaan negeri Selangor, demikian menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui surat bertarikh 15 Oktober lepas memaklumkan bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk menggantikan Zainal Abidin dengan pegawai lain.

"Mengambil kira keputusan Menteri Besar serta hasrat pihak berkuasa negeri Selangor tersebut, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 6 Nov lalu telah mengemukakan surat memaklumkan persetujuan ke atas cadangan penamatan khidmat Zainal Abidin sebagai YDP MPS berkuatkuasa 15 November lalu.

"Notis pertukaran Zainal Abidin dikeluarkan pada 9 November lalu di mana beliau ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) berkuatkuasa semalam selaras dengan permohonan pihak berkuasa negeri Selangor," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Pertukaran Zainal Abidin ke INTAN sebelum ini menimbulkan beberapa
kontroversi termasuk tuduhan yang mengatakan beliau ditukarkan dalam tempoh 24 jam atas kenyataannya berhubung pembinaan projek kondominium, Dolomite Park Avenue, di Batu Caves, Selangor.

Ali berkata kekeliruan itu timbul mungkin kerana pihak yang mengeluarkan kenyataan itu sebelum ini tidak dimaklumkan mengenai permohonan kerajaan negeri untuk menggantikan Zainal Abidin.

Beliau berkata gred Zainal Abidin masih dikekalkan iaitu Gred Jusa C.

Untuk mengisi kekosongan jawatan YDP MPS, JPA telah mengemukakan 14 calon daripada senarai JPA, namun kerajaan negeri Selangor dipercayai mempunyai calon pilihan mereka sendiri, katanya.

Ditanya berkenaan kedudukan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang mengaku bersalah atas tuduhan khalwat, Rabu lalu, Ali berkata kesalahan khalwat seseorang pegawai awam adalah kesalahan tatatertib yang akan diambil tindakan mengikut prosiding jenayah di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai
Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan telah memaklumkan mengenai kes itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), yang akan memutuskan bentuk hukuman yang akan dikenakan, termasuk sama ada memberi amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji dan turun pangkat.

Dr Hasan dan pasanganya Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, yang juga petugas kementerian diarahkan bercuti sehingga kes tersebut diputuskan SPA, katanya, yang turut tidak menolak kemungkinan melantik Ketua Pengarah Kesihatan yang baru.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Derek Fernandez yang didakwa mengibaratkan penjawat awam sebagai 'monyet', Ali berkata ia dianggap sebagai menghina penjawat awam dan menasihatkan agar mana-mana individu perlu berhati-hati dan mengkaji fakta sebelum menyatakan sesuatu.

"Saya menyerahkan kepada penjawat awam untuk menilai dan membuat kesimpulan mengenai kenyataan seperti ini.

Dalam artikel di sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris, Isnin lalu,
Fernandez yang mengulas mengenai pemilihan calon Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) oleh JPA dilaporkan berkata: "let's see who the candidates are. If they are going to nominate some monkeys, we will reject." ("Biar kita tengok dulu siapa calonnya. Jika mereka nak calonkan 'monyet', kami akan tolak").

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.