Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Perlis belum terima surat peletakan Mohsin

Badan Perhubungan Umno Perlis belum menerima surat peletakan jawatan oleh Ketua Pemuda Umno Negeri, Mohsin Yusoff, yang didakwa menyatakan hasrat itu dalam laman sosial Facebooknya (FB) kelmarin.

    

Pengerusinya Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata beliau hanya mendengar hasrat Mohsin untuk melepaskan jawatan itu tetapi tidak mengetahui puncanya.

    

Semalam, Mohsin, yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Padang Besar, meletakkan mesej pada FB "hari ini saya mengambil keputusan untuk  semia jawatan dalam Umno".

    

Md Isa, yang juga Menteri Besar Perlis, berkata, laman sosial bukan saluran rasmi untuk menyatakan apa jua keputusan penting.

    

"Saya harap Mohsin fikir semula keputusannya demi kepentingan parti walaupun beliau ada alasan berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena sambutan Deepavali di Kangar malam tadi.

Md Isa berkata beliau telah meminta Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mat Rawi Kassim bertemu Mohsin untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenainya.

    

Ditanya sama ada tindakan Mohsin itu boleh memberi kesan negatif kepada Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, sedikit sebanyak ia akan tetap memberi kesan.

    

Ketika diminta mengulas kenyataan Mohsin bahawa beliau penat menanggung bebanan dalam pentadbiran parti sama ada di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, Md Isa berkata setiap pemimpin sememangnya sentiasa penat dalam perjuangan.

    

Md Isa, yang juga Ketua Umno bahagian Kangar, berkata setiap pemimpin tidak boleh patah semangat dalam perjuangan dan meneruskannya walaupun terasa penat.

    

Mohsin, yang memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Perlis sejak 2009, sebelum ini dilaporkan dalam media lain bahawa beliau hanya meletakkan jawatan dalam parti tetapi akan tetap membantu jentera parti menghadapi pilihan raya akan datang.

    

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Cikgu Mohsin' juga menyatakan hasrat untuk memberi peluang kepada orang lain untuk memimpin dan beliau turut berharap anggota Umno meneruskan perjuangan dan tidak mengejar jawatan dalam perjuangan.

- Bernama

ADS