Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Badan tertinggi PAS Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa perjuangan dan arah tuju parti itu tidak lari daripada perjuangan asal PAS dahulu seperti yang termaktub dalam fasal 5 (1) perlembagaan parti.

Fasal tersebut berbunyi: "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah"

"PAS hari ini adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal. Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama.

"PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asal tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaannya," kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas bermesyuarat membahas semula apakah negara berkebajikan - yang menjadi tema muktamar parti itu - sesuatu yang "baru dan berlawanan" dengan negara Islam yang diperjuangan oleh PAS selama ini atau sama.

Bahkan, majlis itu juga memperbahaskan semula mengenai tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan atau dilaksanakan PAS masih relevan dan selaras dengan perjuangan parti itu dan mengambilkira komen dari dalam dan luar PAS mengenai arah tuju parti itu.

Dalam kenyataan itu juga Majlis Syura berkata dasar tahaluf siyasi yang diputuskan oleh badan itu al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan memberi perhatian dan mengambil pengajaran daripada tahaluf siyasi Rasullullah SAW.

Katanya, semasa berlaku Perjanjian Hudaibiyah, baginda rela membuang perkataaan "Arrahmanirrahim" dalam "Bismillah" serta perkataan "Rasulullah" selepas perkataan "Muhammad" dalam perjanjian itu, selepas dibantah oleh Umar bin Suhail.

"...Menyebabkan ada di kalangan sahabat yang melahirkan dukacita dan seperti tidak mahu tahaluf. Namun demikian Rasulullah SAW menyetujuinya.

"Itulah liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda Rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siyasi.

"Apabila keputusan telah diambil maka ia wajib dipatuhi oleh semua ahli, demi keutuhan dan kemantapan oraganisasi," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Majlis Ulama PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah yang ditaburkan oleh musuh PAS kononnya parti itu terpesong dari perjuangan.

Badan itu juga berkata musuh PAS tahu bahawa PAS masih atas keasliannya, tetapi sengaja menaburkan fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenarnya.

"Di waktu yang sama, mereka seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalar PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat, dan PAS insya-Allah akan melakar kejayaan," kenyataan itu dipetik.

ADS