Ibu dan anak ditemui lemas di taman Endau Rompin

Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan Taman Negeri Endau Rompin semalam ditemui kira-kira dua meter daripada lokasi kejadian pagi semalam.
    
 Mayat Mohd Hanafi Zainuddin, 15, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat pada 8.53 pagi sementara  mayat ibunya, Rosnani Nordin, 31, ditemui pasukan selam skuba pada 10.31 pagi semalam.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Muadzam Shah, kata Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan.
    
Dalam satu lagi kejadian di Nenasi, Pekan, mayat seorang daripada dua bersaudara yang hilang ketika mencari siput di Sungai Badong, Nenasi petang kelmarin turut ditemui.
    
Mayat Mohamad Syafiruddin Hussin, 14, dari Bandar Seri Bandi, Kemaman  ditemui tenggelam kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
    
Mangsa bersama saudaranya, Mazura Ali, 14, dari Kampung Badong, Merchong dilaporkan hilang ketika mencari siput di Sungai Pahang berdekatan Nenasi.
    
Anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Pekan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat Mazura.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.