Konsep pluralisme agama boleh rosak akidah - ilmuan Islam

Kalangan pemikir Islam hari ini melahirkan kebimbangan terhadap penularan konsep pluralisme agama di negara ini yang menurut mereka sekiranya dibiarkan berleluasa boleh merosakkan akidah umat Islam terutama di kalangan generasi muda.
    
Justeru, mereka berharap semua umat Islam tanpa mengira profesion serta kedudukan dalam masyarakat memainkan peranan bersama-sama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri memerangi fahaman ini agar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini akan terus terpelihara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
    
Bekas Mufti Kedah Datuk Syeikh Hassbullah Abd Halim yang melahirkan kerisauan itu berkata fahaman pluralisme agama itu menganggap semua agama itu sama nilaiannya di sisi tuhan.

"Maka itu pastinya bertentangan dengan akidah Islam dan boleh membawa kepada kekufuran.
    
"Saya nampak usaha untuk sebar luas fahaman pluralisme agama di kalangan umat Islam semakin menjadi-jadi. Oleh itu umat Islam yang cintakan agamanya harus bertindak atas kapasiti masing-masing, yang mana kerajaan cara kerajaan, ilmuwan cara ilmuwan," katanya kepada Bernama.
    
Syeikh Hassbullah berkata bagi memerangi fahaman itu, umat Islam di negara ini perlu mengukuhkan kesatuan serta perpaduan dengan cara kembali kepada landasan Islam sebenar seperti yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata agensi agama seperti Jabatan Agama Islam di setiap negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula wajar memainkan peranan memberi penerangan dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat Islam berhubung fahaman itu.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Muda (Ilmu) Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya berkata pluralisme merupakan satu fahaman yang menerapkan sikap toleransi yang terlampau dengan beralaskan perspektif barat.

"Saya tertunggu-tungu Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan satu fatwa yang jelas mengenai fahaman ini kepada umat Islam sebagai rujukan," katanya.
    
Beliau berkata fatwa itu wajar dilaksanakan bersama tindakan dan penguatkuasaan agama yang ketat supaya usaha membanteras gejala itu dapat dilaksanakan secara efektif.
    
"Saya tekankan di sini perlu periksa KPI (Petunjuk Prestasi Utama) penguatkuasaan agama agar tidak jadi keadaan hanya sekadar ada fatwa tetapi lemah dari segi tindakan dan penguatkuasaan," katanya.

Fathul Bari berkata antara kekangan yang dihadapi umat Islam kini dilihat kekurangan ilmu pengetahuan agama dan kebanyakannya terlalu fanatik kepada parti tertentu mahupun individu.

"Penyelewengan terhadap hadis dan ayat al-Quran juga berlaku sekarang yang mana semua ini boleh diatasi dengan cara kembali berpandukan kepada ajaran Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan Al-Sunnah," katanya.

Imam Masjid Negara Azhar Tuarno pula berkata generasi muda perlu lebih berhati-hati dengan konsep kebebasan, terutama dalam soal melibatkan akidah Islam.
    
Beliau berkata dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan masa kini, perhubungan antara manusia adalah lebih mudah, meluas dan bebas.

"Apa sahaja sekarang boleh dicapai dihujung jari, ini yang kita risau, terutama generasi baharu yang kurang pengetahuan agama, kita takut perkara yang melibatkan akidah boleh berlaku," katanya.

Dalam hal ini, katanya pendakwah Islam dan juga orang ramai perlu memainkan peranan lebih aktif untuk turut terlibat membendung daripada penyebaran maklumat yang dapat memesongkan akidah.

"Tidak salah menggunakan medium sosial untuk berdakwah, seperti facebook, twitter," katanya.
    
Azhar yang juga pendakwah bebas, tidak menafikan semua agama membawa ke arah kebaikan, namun beliau berkata konsep 'baik' bagi setiap agama adalah berbeza.
    
"Ini kita perlu lihat kembali dan fikir secara mendalam," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.