Syor jadi PM, syok juga sepintas lalu - kata Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berseloroh selepas dicadangkan oleh Dewan Ulama yang mahu beliau menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

"Syok (seronok) juga sepintas lalu. Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita menangkan Islam, lepas tu nak mati, matilah,"katanya dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu hari ini.

Abdul Hadi memberi contoh sejarah Rasulullah menjawab pertanyaan kabilah Bani Amir yang bertanya siapa yang akan menjadi ketua jika Allah menjanji kemenangan pembinaan negara Madinah.

"Bila Nabi nak berhijrah ke Madinah, Nabi berjumpa dengan pemimpin kabilah yang bersedia untuk menawar diri mereka dengan Islam.... Allah menjanjikan kemenangan, (dan) satu kabilah, Bani Amir, Nabi tawar Islam, (kata) Allah janji kemenangan, tegak negara kalau berjaya.

"(Wakil kabilah bertanya) Kalau menang siapa jadi raja, ketua, menteri dan pemimpin. Nabi Muhammad SAW berkata kekuasaan itu milik Allah dan Dia beri kepada siapa yang dia kehendaki. Itu jawapan Nabi. Jadi selepas ini kita ikut ajar begitulah," katanya.

Kemudian Hadi berkata:" Saya tidak mahu menjadi seperti Ustaz Azizan (Abdul Razak), dia tahu saya suka memancing.  Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut, sebelum pergi, dia minta anak buah dia tumbuk rempah siap-siap nak masak ikan jenahak," katanya yang iringi gelak ketawa hadirin

"(Tetapi) pergi ke laut boleh ikan belukang... Belum apa-apa lagi dah tumbuk rempah... Dan kita perlu mengikut apa yang diajar oleh Nabi SAW," katanya.

Dalam ucapan itu, Abdul Hadi mengulangi iltizam parti itu untuk bersama-sama Pakatan Rakyat kerana ia merupakan realiti di Malaysia.

Katanya, parti tidak boleh bersendirian untuk memimpin masyarakat majmuk berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan dan resolusi yang telah ditetapkan oleh gabungan itu.

Menurutnya lagi, parti itu akan terus melaksanakan tahaluf siyasi (kerjasama politik) kerana mengikut peraturan hubungan antarabangsa dalam Islam "damai didahulukan".

Menurutnya lagi, ulama di alam Melayu telah menyampaikan Islam dan kefahaman politik kepada pemerintah di negeri-negeri Melayu termasuk membenarkan orang Buddha menjadi rakyat bersama-sama orang Islam dalam masyarakat majmuk.

Katanya, tidak mungkin rakyat dapat disatukan atas dasar perkauman sekaligus menempelak parti yang berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC sebagai "tidak relevan".

"Sekejap-sekejap kemudian apikan semangat kaum masing-masing... Ia sudah tidak sesuai lagi," katanya sambil mengingatkan jentera parti supaya membuat persiapan zahir, jasmani dan segala kekuatan dengan penuh ikhlas bagi menghadapi pilihan raya umum.

Berucap lanjut, Abdul Hadi juga berkata tidak timbul kumpulan ulama dan bukan ulama dalam parti itu dengan menyifatkan ia sebagai "mengarut dan jangan terikut-ikut dengan rentak lawan".

"Majlis Syura tidak jumud dan terbelenggu, kerana melibatkan kalangan profesional untuk memberi penjelasan berhubung perkara duniawi

"Tidak timbul kumpulan ulama, profesional, kumpulan laga ayam... Ini mengarut dan jangan terikut-ikut dengan lawan kita," katanya yang juga ahli parlimen Marang.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.