Boleh murtad jika perlekeh Islam - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam), lapor Harakahdaily.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Harakahdaily memetik beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Kota Bharu hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga dilaporkan berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi, lapor Harakahdaily.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.